Perkara itu disimpulkan oleh ketua jurulatih, Bojan Hodak apabila barisan pemainnya gagal mencapai sasaran diletakkan iaitu sekurang-kurangnya melangkah ke suku akhir termasuk gagal meraih sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan peringkat kumpulan.
“Saya anggap barisan pemain skuad negara masih naif untuk beraksi di kejohanan bertaraf Asia seperti ini. Paling ketara adalah apabila banyak peluang keemasan yang terpaksa kita lepaskan.
“Barisan pertahanan pula gagal membentuk gandingan ampuh sehingga melakukan beberapa kesilapan yang menghukum pasukan sepanjang tiga perlawanan lepas,” katanya selepas menyaksikan skuad negara tewas 0-2 kepada China kelmarin.
Terdahulu, skuad muda Harimau Malaya ditewaskan oleh Arab Saudi sebelum seri 2-2 dengan Tajikistan dalam saingan yang berlangsung di Jakarta, Indonesia itu.
Mengulas lanjut, Hodak yakin program pembangunan muda dan belia perlu diperkukuhkan sekiranya berhasrat untuk me­nyaksikan skuad remaja negara melangkah ke Piala Dunia edisi remaja pada masa akan datang.
“Kita harus mengukuhkan lagi program pembangunan pemain muda dan saya akui ia memerlukan perancangan jangka panjang. Barisan pemain ini perlu sentiasa didedahkan dengan latihan pada intensiti yang tinggi supaya kita bersedia menghadapi perlawanan berprestij seperti ini.
“Generasi ini juga melakukan yang terbaik kerana bukan mudah untuk layak ke kejohanan AFC B-19 secara merit selain muncul juara Kejuaraan Persekutuan Bola Sepak Asia Tenggara (AFF) B-19 baru-baru ini,” katanya.
Skuad B-19 negara mengulangi nasib yang sama dengan pasukan B-16 negara selepas pasukan kendalian Lim Teong Kim itu turut menduduki tangga tercorot Kejohanan AFC B-16 di Kuala Lumpur bulan lalu.
Hanya skuad B-23 negara yang berjaya melangkah ke pusingan suku akhir Kejohanan AFC B-23 yang berlangsung di China awal tahun ini.