
Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (kanan) menyampaikan cenderahati kepada Bekas Presiden FAM, Tengku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim (tengah) pada Kongres Persatuan Bola Sepak Malaysia kali ke 54 di Hotel Hilton. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PETALING JAYA: Persoalan mengenai Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang baharu terus menjadi teka-teki selepas tiada lagi calon dipilih untuk mengisi kekosongan jawatan itu.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengosongkan jawatan itu selepas dipilih selaku presiden baharu mengesahkan perkembangan terbabit.
Katanya, dia masih belum membuat sebarang keputusan mengenai penggantinya namun perkara itu akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.
"Berhubung isu Setiausaha Agung, saya belum lagi melantik setiausaha saya. Saya belum dapat ilham lagi.
"Saya juga sudah bertanya kepada Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan beliau juga belum mendapat ilham. Tetapi saya akan umumkan calonnya selepas ia diputuskan dalam masa terdekat ini," katanya ringkas ketika sidang media Kongres FAM ke-54, hari ini.
Hamidin dilantik menduduki 'kerusi panas' persatuan itu bagi baki penggal 2017-2021 selepas menang tanpa bertanding pada Kongres FAM ke-54 yang berlangsung di Petaling Jaya, hari ini.
Beliau mengisi kekosongan ditinggalkan penyandangnya, Tunku Ismail yang melepaskan jawatannya pada 25 Mac lalu selepas setahun mengemudi persatuan itu.
Sebelum ini, Hamidin mengesahkan jawatan Setiausaha Agung itu menjadi buruan 12 calon dengan ada daripadanya bertugas di dalam dan juga luar negara, namun semuanya adalah rakyat Malaysia.
Difahamkan antara nama yang kini dikaitkan sebagai pengganti Hamidin adalah Naib Presiden Dentsu Sports Asia Stuart Ramalingam, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) Izham Ismail, bekas Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah, Perunding Teknikal Liga Pro Oman Saifuddin Abu Bakar, Ghaz Ramli dari Fremantle Dockers, Australia dan Ketua Pegawai Eksekutif Shekinah PR yang juga Exco FAM, Christopher Raj.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan