Pemain Harimau Malaya, Muhammad Syafiq Ahmad, mengasak pemain Fiji, Remueru, ketika Perlawanan Persahabatan diantara pasukan Harimau Malaya menentang Pasukan Fiji di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.
KUALA LUMPUR - Skuad kebangsaan mencatat kemenangan tipis 1-0 mengatasi Fiji pada aksi persahabatan antarabangsa kelas 'A' di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.
Jaringan tunggal perlawanan terhasil daripada gerakan Muhammad Nazmi Faiz Mansor yang bijak melorongkan bola kepada Muhammad Syazwan Zainon, seterusnya melakukan hantaran leret ke dalam kotak penalti dan disambut baik penyerang JDT II, Muhammad Syafiq Ahmad dengan tampanan menerjah gawang gol Fiji pada minit ke-19.
Sebelum itu, Fiji yang dibimbing Christophe Gamel hampir di hadapan pada minit kesembilan setelah penyerangnya Rusiate Matarerega berjaya meloloskan diri dan hanya dalam situasi satu lawan satu dengan penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat namun rembatannya terkena tiang gol.
Berselang seminit selepas itu, Muhammad Safawi Rasid pula terlepas peluang keemasan untuk menjaringkan gol setelah rembatannya dari luar kotak penalti melambung tinggi melewati palang gol.
Anak buah Tan Cheng Hoe ternyata mengawal keseluruhan perlawanan di separuh mata pertama dengan beberapa gerakan dan percubaan dilakukan namun gagal menambah jaringan dan keputusan 1-0 itu kekal sehingga masa rehat.
Bermula babak kedua, Cheng Hoe melakukan beberapa pertukaran antaranya mengeluarkan Shafiq Shaharudin dan memasukkan Wan Zack Haikal Wan Nor bagi menambah sengat di bahagian serangan.
Pada minit ke-57, rembatan padu Wan Zack berjaya menewaskan penjaga gol Fiji, Misiwani Nairube namun beliau terlebih dahulu dikesan berada di kedudukan ofsaid dan jaringannya dibatalkan.
Selepas itu, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan namun ketumpulan di bahagian hadapan mengakibatkan tiada gol dihasilkan dan keputusan akhir kekal memihak kepada Malaysia.
Walaupun Harimau Malaya hanya mencatat kemenangan tipis, kejayaan malam ini amat bermakna kerana Fiji menduduki ranking lebih baik daripada pasukan kebangsaan dan pastinya ia akan melonjakkan ranking negara yang ketika ini menghuni tangga ke-175 dunia.
Selepas perlawanan malam ini, skuad Harimau Malaya akan menghadapi lima lagi perlawanan persahabatan bertemu Taiwan pada 7 Sept depan, Kemboja (11 September), Sri Lanka (12 Oktober), Republik Kyrgyz (16 Oktober) dan Maldives (3 November). - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan