MALAYSIA membuktikan betapa ranking tidak penting selepas menewaskan Fiji 1-0 pada aksi persahabatan antarabangsa kelas A di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, di sini, malam tadi.
Kemenangan ke atas pasukan dengan ranking lebih baik itu sudah tentu dapat membantu skuad negara memperbaiki kedudukan ranking selepas ini. Fiji ketika ini menghuni tangga ke-165 dunia berbanding Malaysia (171).
Kemenangan ini juga menyaksikan skuad Harimau Malaya menamatkan penantian 17 tahun untuk menewaskan negara yang lebih terkenal dengan sukan ragbi itu selepas kali terakhir berbuat demikian pada Februari 2001.
Pada aksi itu, Tan Cheng Hoe membuat percaturan berani apabila menurunkan lima pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) dalam kesebelasan utama dan nyata mereka menunjukkan corak permainan lebih bertenaga dengan tempo permainan agak pantas dan menyerang.
Meskipun skuad Harimau Malaya memulakan permainan dengan rentak meyakinkan, Fiji terlebih dahulu hampir ‘menggugurkan’ jantung tuan rumah selepas kesilapan Shahrul Saad dihukum Christopher Frances Wasasala yang berjaya menewaskan Khairul Fahmi Che Mat.
Namun ia kecewa apabila percubaannya hanya singgah di tiang kanan gol.
Gagal melakukan sebarang percubaan tepat ke gawang Fiji dalam tempoh 18 minit pertama, gerakan pantas dari sebelah sayap kiri akhirnya memerangkap pertahanan lawan selepas hantaran Syazwan Zainon ditampan masuk Syafiq Ahmad dari jarak dekat untuk memecah kebuntuan pada minit ke-19.
Namun Malaysia membayar harga yang mahal untuk jaringan pembukaan itu apabila Syafiq terpaksa diusung keluar susulan kecederaan dan digantikan dengan seorang lagi penyerang muda, Shafiq Shaharudin lima minit berselang.
Malaysia beroleh peluang keemasan kedua untuk melebarkan jurang selepas hantaran lintang Mohd Syazwan Andik menemui Mohd Nazmi Faiz Mansor di dalam kotak penalti namun rembatannya dihalang pertahanan Fiji pada minit ke-30.
Bersambung babak kedua, skuad Harimau Malaya meneruskan corak permainan menyerang namun gagal melakukan sebarang percubaan dalam tempoh sembilan minit pertama babak kedua.
Malaysia seharusnya memperolehi gol kedua menerusi gerakan menarik dari tengah, namun jaringan yang dihasilkan pemain gantian, Wan Zack Haikal Wan Nor pada minit ke-54 dibatalkan susulan dia berada dalam keadaan ofsaid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan