KUALA LUMPUR: Pelantikan Datuk Hamidin Mohd Amin selaku presiden baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dilihat mampu mengekalkan usaha perubahan yang mahu dilakukan terhadap sukan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam berkata secara tidak langsung badan penganjuran Liga Malaysia (Liga M) itu akan terus mendapat sokongan padu daripada FAM.
"Sebelum ini kita sedikit risau jika ada presiden baharu yang mungkin tidak faham arah tuju MFL. Tetapi Hamidin faham apa yang kita lakukan dan dia yakin yang kita mampu meneruskan perancangan yang diatur," kata Kevin pada Majlis Pengumuman Kerjasama antara Yakult Malaysia dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), hari ini.
"Kami gembira dengan mandat yang diberikan kepada Hamidin untuk memimpin FAM. Saya tahu sekarang kita akan sokongan padu daripada FAM."
Pengumuman ini diadakan sekali bersama program MOHSKOR anjuran Media Prima di salah satu pusat beli belah di ibu negara.
Hadir sama Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada, Ketua Jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee dan tiga pemain B-23, Irfan Zakaria, Syazwan Andik Ishak serta N Thanabalan.
Pada majlis itu juga, skuad B-23 negara menerima penghargaan Anugerah Ikon Sukan Yakult selepas mempamerkan aksi cemerlang ketika layak ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China, Januari lalu.
"Dengan penglibatan Yakult dalam arena sukan, kami ingin berikan galakan dan mengiktiraf prestasi baik yang ditonjolkan atlet tempatan. Kami sudah memulakan Anugerah Ikon Sukan Yakult sejak tahun lalu," kata Hamada.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan