KUALA LUMPUR: Pemain sayap Melaka United, Syahrul Azwari Ibrahim tidak mahu mensia-siakan peluang untuk kembali ke pentas antarabangsa selepas mendapat panggilan mengejut daripada jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe semalam.
Pemain berusia 25 tahun itu antara empat pemain baru yang dipanggil bagi mengisi kekosongan ditinggalkan N Thanabalan (Negeri Sembilan), Ahmad Hazwan Bakri, Aidil Zafuan Abd Radzak dan La'Vere Corbin-Ong (Johor Darul Ta'zim) yang terpaksa digugurkan akibat kecederaan.
Selain Syahrul, tiga lagi pemain untuk melengkapkan senarai 24 pemain bagi kem latihan pusat bermula esok adalah Shafiq Shaharudin (Kelantan), Kenny Pallraj (Perak) dan Syawal Nordin (Kedah).
Bagi Syahrul, dia cukup teruja untuk kembali bersama Harimau Malaya selepas kali terakhir beraksi ketika Malaysia tewas 2-1 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dalam kelayakan Piala Dunia 2018 pada 17 November 2015.
"Saya gembira dan berterima kasih kepada jurulatih Tan Cheng Hoe kerana memberi saya peluang, memang saya agak terkejut juga sebab sudah lama tidak dipanggil. Saya tak mahu meletakkan sasaran tinggi tapi saya akan cuba berikan yang terbaik untuk merebut tempat dalam pasukan," kata Syahrul.
Syahrul, bekas pemain Harimau Muda, mula mendapat perhatian susulan prestasi baiknya bersama Melaka United selepas berpindah dari Johor Darul Ta'zim II (JDT II) pada pertengahan musim ini.
Pemain sayap lincah itu kini mengimpikan tempat untuk berada dalam skuad ke Piala AFF hujung tahun ini.
"Saya tak pernah beraksi di Piala AFF, memang impian saya juga untuk beraksi di kejohanan besar. Tapi persaingan pasti sengit dan saya perlu berusaha keras lagi," katanya.
Pemain Harimau Malaya mula berkumpul esok bagi sesi latihan pusat sebagai persiapan menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa bertemu Fiji di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, 5 Julai ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan