Setiausaha Agung FAM baharu akan diumumkan selepas Kongres FAM bulan depan
BAKAL Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin mendedahkan sekurang-kurangnya 12 calon berminat untuk menjadi Setiausaha Agung badan induk tersebut.
Hamidin yang menang tanpa tanding menjadi Presiden FAM selepas pencabarnya yang merupakan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa serta Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi menarik diri daripada bertanding jawatan tersebut.
Justeru, status jawatan Setiausaha Agung FAM mula menjadi sebutan apabila Hamidin bakal meninggalkan posisi tersebut selepas dipilih menjadi Presiden FAM baharu.
Mengulas mengenai pengganti beliau untuk menjadi Setiausaha Agung FAM baharu, Hamidin memberitahu keputusan itu bakal terjawab sama seperti pelantikannya secara rasmi sebagai Presiden FAM pada Kongres FAM pada 14 Julai depan.
“(Setiausaha Agung FAM baharu) akan diumumkan selepas (Kongres FAM pada) 14 Julai depan. Saya masih belum memikirkan calon (Setiausaha Agung FAM baharu). Jadi, saya kira ramai calon berminat dan memohon kepada saya.
“Ia sudah tentu sesiapa yang akan memegang jawatan Setiausaha Agung FAM adalah orang yang boleh bekerja, dapat bersama-sama dengan saya dan membantu bola sepak negara ke peringkat lebih tinggi.
“Setakat semalam (kelmarin) sudah 12 orang yang berminat daripada dalam dan luar negara. (Status luar negara) orang asing tetapi orang Malaysia yang bekerja di luar negara. Semuanya orang Malaysia,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang semalam.
Sementara itu, Hamidin berharap pihak-pihak tertentu tidak membuat spekulasi terhadap tindakan Annuar menarik diri daripada bertanding jawatan Presiden FAM.
Sebaliknya, beliau menggesa semua pihak membantunya dalam usaha memajukan bola sepak Malaysia.
“Sejujurnya, (menang tanpa tanding menjadi Presiden FAM) adalah satu amanah daripada penyokong-penyokong dan rakyat. Tugas ini amat berat tetapi hanya seorang presiden sahaja tidak boleh bawa ke mana.
“Ini kerana kita memerlukan sokongan kerajaan, penyokong, media dan semua pihak untuk melonjakkan bola sepak negara. Selain sokongan, berilah kritikan membina kepada pasukan demi kemajuan bola sepak negara,” katanya.
Antara calon-calon yang dikaitkan dengan jawatan itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Izham Ismail, (Naib Presiden Dentsu Sports Asia) Stuart Ramalingam dan (bekas Timbalan Presiden FAM) Datuk Seri Afandi Hamzah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan