KUALA LUMPUR: Pengendali skuad Bawah 23 tahun (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee sudah mengenal pasti beberapa calon untuk melengkapkan senarai tiga pemain lebih umur yang bakal bawa cabaran negara ke Sukan Asia di Jakarta, Indonesia, pertengahan Ogos ini.
Ketika ini, hanya tonggak Kedah, Baddrol Bakhtiar dipanggil untuk menjalani latihan pusat skuad B-23 kebangsaan, bermula esok hingga Sabtu depan.
"Saya ada beberapa nama untuk disenaraikan sebagai pemain lebih umur," katanya pada Majlis Pengumuman Kerjasama antara Yakult Malaysia dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL), hari ini.
"Saya hanya akan panggil mereka pada latihan fasa akhir nanti yang dijangka awal Ogos ini. Selepas itu saya akan putuskan siapa yang akan bersama Baddrol.
"Baddrol bukan saja boleh beraksi di tengah malah dia juga mampu bermain di posisi sayap dan ini beri kelebihan buat pasukan.
"Saya tidak nampak yang saya perlukan pemain di posisi serangan. Kemungkinan dua pemain itu adalah untuk posisi tengah dan pertahanan."
Pada majlis itu juga, skuad B-23 negara menerima penghargaan Anugerah Ikon Sukan Yakult selepas mempamerkan aksi cemerlang ketika layak ke suku akhir Kejohanan AFC B-23 di China, Januari lalu.
Pada masa sama, Kim Swee mengharapkan Wong Tse Yang yang juga anak bekas penjaga gol legenda negara, Wong Kam Fook, dapat memanfaatkan panggilan menyertai latihan skuad B-23 sebaik mungkin.
"Kita tahu Oscar (Wong Tse Yang) bermain di Liga Hong Kong namun dia masih perlu pendedahan dan harus dinilai di peringkat antarabangsa.
"Jadi saya harap kita dapat lihat aksi terbaik daripadanya, tidak hanya pada latihan kali ini sebaliknya pada sesi akan datang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan