
Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan. - Foto Zunnur Al Shafiq
KUALA LUMPUR: Skuad Harimau Malaya mempunyai peluang cerah merasai nikmat beraksi di Piala Dunia dengan syarat harus menyertai pakatan bersama tiga lagi negara Asia Tenggara iaitu Thailand, Vietnam dan Indonesia untuk membida hak penganjuran Piala Dunia pada 2034.
Bekas Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Peter Velappan berkata, meskipun ranking empat pasukan serantau itu di bawah kelompok 100 dunia, peluang menjadi tuan rumah tetap cerah kerana bakal membida atas tiket penganjuran secara bersama.
Ini terbukti apabila Kanada yang kini menghuni tangga ke-79 dunia berjaya mendapat hak penganjuran bersama Amerika Syarikat (25) dan Mexico (15) pada 2026 sekali gus muncul negara pertama yang bukan dari kelompok 50 dunia terbaik menganjurkan kejohanan berprestij itu.
"Polisi FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa) juga sudah berubah. Dulu untuk menjadi tuan rumah pelbagai syarat dikenakan antaranya kedudukan ranking dan geografi sesebuah negara.
"Sekarang tidak lagi, masalah jarak atau geografi bukan lagi halangan kerana FIFA lebih mengutamakan penyatuan dan keharmonian terutamanya kepada penyokong yang hadir di setiap venue perlawanan.
"Malah, hasil perbincangan saya dengan beberapa kepimpinan tertinggi FIFA ketika aksi pembukaan Piala Dunia di Russia minggu lalu, mereka amat mengalu-alukan hasrat Asia Tenggara untuk menganjurkan kejohanan itu.
"Saya harap FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) dan kerajaan Malaysia serius untuk membincangkannya dengan tiga lagi negara lain bagi mendapatkan hak penganjuran Piala Dunia," katanya kepada media di Kelab Di Raja Selangor, Bukit Kiara, hari ini.
Sebelum ini, Jepun dan Korea Selatan pernah menganjurkannya secara bersama pada 2002 yang menyaksikan Brazil berjaya menjulang trofi berkenaan buat kali kelima selepas mudah menewaskan Jerman 2-0 pada aksi final.
Qatar bakal menjadi negara ketiga dari Asia menganjurkan kejohanan terulung itu pada 2022 nanti sebelum tiga negara dari Amerika Utara menjadi tuan rumah secara bersama empat tahun kemudian.
"Difahamkan, Korea Selatan dan Korea Utara serta Jepun dan China turut berminat untuk membida panganjuran secara bersama pada 2034. Tapi peluang lebih terbuka luas buat Asia Tenggara kerana tidak pernah jadi tuan rumah berbanding Jepun dan Korea Selatan pada 2002," katanya.
Untuk rekod, Malaysia dan tiga lagi negara serantau itu sebelum ini pernah menganjurkan saingan Piala Asia secara bersama pada 2007.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan