CHENG HOE
KETUA jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui beliau teruja dan bakal sibuk menghadapi persiapan pasukan kebangsaan untuk mengharungi kejohanan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) Suzuki 2018 selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengesahkan aksi terbaharu bertemu Maldives, November depan.
Katanya, setiap perlawanan persahabatan itu akan digunakan sebaik mungkin oleh staf kejurulatihan untuk memastikan pasukan kebangsaan berada dalam kedudukan lebih baik sebelum turun bermain pada Piala AFF Suzuki, November depan.
Apa yang pasti, Cheng Hoe sudah tidak sabar untuk menguji para pemain dengan mengharapkan mereka memberikan sesuatu yang baharu buat skuad Harimau Malaya selepas menunjukkan prestasi positif bersama kelab masing-masing.
“Saya melihat enam perlawanan persahabatan ini akan menjadi ujian terakhir buat kami bagi menilai kemampuan sebenar pasukan kebangsaan.
“Saya tidak bimbang dengan masalah kecederaan (selepas mendapat enam perlawanan persahabatan) kerana itu adalah sebahagian daripada lumrah pemain kerana apa yang menjadi keutamaan adalah mahu melihat kombinasi terbaik.
“Perlawanan persahabatan ini juga menjadi peluang terbaik untuk kita uji pemain. Sudah tentu pemain-pemain dari pelbagai negara seperti Fiji, kita tahu keupayaan mereka dari segi kekuatan fizikal.
“Begitu juga Taiwan, (keupayaannya) lebih kurang macam Timor Leste tetapi saya fikir ujian sebenarnya Republik Kyrgyz kerana antara keenam-enam pasukan ini mereka adalah jauh lebih baik,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Semalam, FAM mengesahkan aksi keenam antarabangsa buat Harimau Malaya yang akan bertemu pasukan di ranking 150 dunia, Maldives bagi perlawanan persahabatan antarabangsa kelas A di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 3 November depan.
Aksi pemanas badan itu akan menjadi ujian terakhir sebelum skuad Harimau Malaya kendalian Cheng Hoe terbang ke Phnom Penh bagi aksi sulung Kumpulan A Piala Suzuki AFF 2018 bertemu Kemboja pada 8 November.
FAM sebelum ini mengesahkan lima perlawanan persahabatan antarabangsa A yang diatur menjelang Piala AFF Suzuki iaitu bertemu Fiji (5 Julai), Taiwan (7 September), Kemboja (10 September), Sri Lanka (12 Oktober) dan Republik Kyrgyz pada 16 Oktober.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan