LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) tidak menolak kemungkinan adanya
pasukan yang akan menerima nasib sama dengan FELDA United apabila 'ditendang
keluar' daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim akan datang.
Ia selepas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam
menjangkakan masalah kegagalan pasukan untuk mendapatkan lesen kelab akan terus
berlaku selepas ini meskipun pihaknya sudah bekerja keras dalam memberi
peringatan kepada setiap pasukan bertanding dalam kancah bola sepak tempatan.
Katanya, kedegilan pengurusan yang masih lagi berada pada takuk
lama dilihat menjadi punca kegagalan segelintir pasukan melengkapkan
pendaftaran sekali gus 'berputih mata' apabila terpaksa diturunkan satu
divisyen daripada saingan sepatutnya disertai mereka.
"Berhubung pelesenan kelab, kita sudah memiliki perancangan
tersendiri dan matlamat ingin kita raih. Ini sebenarnya membabitkan pelbagai
proses jadi biarkan pelesenan kelab ini mengikut aturannya satu demi satu
sehinggalah ia menunjukkan kesannya nanti.
"Jadi kami jangka sudah tentu akan ada pasukan masih gagal
melengkapkan pendaftaran pasukan sekurang-kurangnya untuk tiga tahun akan
datang. Penyingkiran akan tetap dilakukan jadi inilah yang harus kita hadapi
untuk melangkah ke era lebih profesional.
"Untuk itu, pengurusan yang masih berada di takuk lama
seharusnya bangkit untuk mengikut era pengurusan moden dan mematuhi peraturan
sudah ditetapkan. Jika mereka mengikut garis panduan, sudah tentu masalah
sebegini tidak akan berlaku," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, badan pengendali bola sepak itu mengesahkan semua
pasukan yang beraksi dalam Liga Super perlu melengkapkan pendaftaran dan
dokumen untuk memperolehi lesen kelab bagi bertanding dalam saingan Liga Super
musim ini.
Situasi ini sekali gus menyaksikan kegagalan pasukan FELDA
United mendapatkan lesen kelab menyebabkan mereka terpaksa 'disingkirkan' ke
saingan Liga Perdana pada musim ini.
Bagi pasukan yang beraksi dalam Liga Perdana pula,
penguatkuasaan lesen kelab akan dilaksanakan bermula musim 2019 dan mereka
perlu melengkapkan proses diperlukan bagi memperolehi lesen untuk bertanding
bagi musim 2020.
Sebagai
rekod, setiap pasukan yang memohon lesen kelab perlu melepasi penilaian dibuat
ke atas enam kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran,
perundangan, kewangan dan perniagaan seperti termaktub dalam Peraturan
Pelesenan Kelab Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Edisi 2017.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan