Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Isnin, 21 Mei 2018

FAM, Tony sedia bekerjasama


SETIAUSAHA Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin (dua dari kiri) bersama ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes (dua dari kanan), Datuk Ong Kim Swee (kiri) dan Simon Lim di Wisma FAM. - Foto FAM
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes berminat untuk mengadakan kerjasama dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam beberapa aspek pada masa akan datang.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam satu kenyataan menjelaskan satu pertemuan dengan Tony sudah berlangsung di Wisma FAM, hari ini.
"Dalam pertemuan itu, Tony menerusi syarikatnya, AirAsia berminat untuk mengadakan kerjasama rapat dengan FAM pada masa akan datang terutama aspek pengadilan, pasukan kebangsaan serta program pembangunan belia.
"FAM sememangnya mengalu-alukan pembabitan serta sokongan daripada ahli perniagaan seperti Tony dalam usaha kita untuk bersama-sama menaikkan semula bola sepak Malaysia," kata Hamidin.
Turut serta dalam pertemuan tersebut adalah ketua jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) tahun negara, Datuk Ong Kim Swee selaku Ketua Unit Belia FAM serta Timbalan Presiden PJ Rangers FC, Simon Lim yang hadir bersama Tony.
Pertemuan itu adalah langkah permulaan dan kerjasama kedua-dua pihak mungkin lebih mudah untuk direalisasikan sekiranya Hamidin dipilih sebagai Presiden FAM yang baharu pada kongres ke-54 badan induk berkenaan pada 14 Julai depan.
Selain Hamidin, dua lagi nama iaitu Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan Bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa turut mendapat pencalonan daripada ahli gabungan untuk merebut kerusi nombor satu itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan