PEMANGKU Presiden FAM,
Datuk Mohd Yusoff Mahadi (kanan) berbincang jurulatih, Datuk Ong Kim Swee. -
Foto Osman Adnan
KUALA LUMPUR: Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) tetap menaruh harapan agar pasukan negeri dan kelab
tidak menghalang mana-mana pemain menyertai skuad bawah 23 tahun negara (B-23)
ke Sukan Asia Indonesia, Ogos depan.
Pemangku Presidennya, Datuk
Yusoff Mahadi berkata, peluang untuk jurulatih Datuk Ong Kim Swee mendapatkan
pemain terbaik masih ada memandangkan kemungkinan hanya ada dua perlawanan awal
Piala Malaysia berlangsung pada sesi latihan pusat bermula 1 Ogos nanti.
"Skuad B-23 akan
memulakan latihan pada awal Ogos selama 10 hari sebelum ke Sukan Asia.
Kemungkinan dalam tempoh itu, setiap pasukan hanya mengharungi dua perlawanan
Piala Malaysia dan selepas itu saingan bersambung semula selepas Sukan Asia.
"Saya melihat dua
perlawanan ini tak akan memberi kesan kepada persiapan skuad B-23. Kita
berharap agar pemain yang akan dipanggil oleh Kim Swee nanti akan mendapat
pelepasan pasukan masing-masing kerana ini tanggungjawab mereka juga untuk
membentuk pasukan ini.
"Skuad B-23 ini adalah
pasukan masa depan negara, ini pasukan terbaik yang kita ada, jadi saya
percaya, semua pasukan faham keperluan ini," katanya.
Sukan NSTP sebelum ini melaporkan
kebimbangan Kim Swee mengenai persiapan pasukannya kerana belum ada jaminan
beliau akan dapat memanggil pemain terbaik ke Sukan Asia memandangkan jadual
bertindih dengan Piala Malaysia.
Ketika mempersiapkan
pasukan menghadapi Kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di
Bangkok, Thailand pada Julai lalu, Kim Swee dikejutkan apabila hanya enam
daripada 26 pemain yang disenaraikan melaporkan diri pada hari pertama latihan
pusat.
Bagaimanapun, Yusoff yang
juga pengurus pasukan skuad B-23 yang melakar sejarah mara ke suku akhir
Kejohanan AFC di China, awal tahun ini tidak menolak kemungkinan ada pasukan
hanya melepaskan pemain pada saat akhir.
"Mungkin ada pasukan
yang hanya mahu melepaskan pemain selepas dua perlawanan Piala Malaysia itu,
tapi saya berharap, ini tidak akan berlaku kerana sukar untuk jurulatih
mempersiapkan pasukan pada saat akhir.
"Tapi terpulang kepada
penilaian jurulatih sama ada masih mahu menerima pemain pada saat akhir atau
hanya mengekalkan pemain yang melaporkan diri awal," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan