KETUA Pegawai
Eksekutif (MFL), Kevin Ramalingam. - Foto Mohd Asri Saifuddin Mamat
KUALA LUMPUR: Liga
Bolasepak Malaysia (MFL) tidak menolak kemungkinan adanya pasukan yang akan
menerima nasib sama dengan FELDA United apabila 'ditendang keluar' daripada
saingan Liga Malaysia (Liga M) pada musim akan datang.
Ia selepas Ketua Pegawai
Eksekutifnya, Kevin Ramalingam menjangkakan masalah kegagalan pasukan untuk
mendapatkan lesen kelab akan terus berlaku selepas ini meskipun pihaknya sudah
bekerja keras dalam memberi peringatan kepada setiap pasukan bertanding dalam
kancah bola sepak tempatan.
Katanya, kedegilan
pengurusan yang masih lagi berada pada takuk lama dilihat menjadi punca
kegagalan segelintir pasukan melengkapkan pendaftaran sekali gus 'berputih
mata' apabila terpaksa diturunkan satu divisyen daripada saingan sepatutnya
disertai mereka.
"Berhubung pelesenan
kelab, kita sudah memiliki perancangan tersendiri dan matlamat ingin kita raih.
Ini sebenarnya membabitkan pelbagai proses jadi biarkan pelesenan kelab ini
mengikut aturannya satu demi satu sehinggalah ia menunjukkan kesannya nanti.
"Jadi kami jangka
sudah tentu akan ada pasukan masih gagal melengkapkan pendaftaran pasukan
sekurang-kurangnya untuk tiga tahun akan datang. Penyingkiran akan tetap
dilakukan jadi inilah yang harus kita hadapi untuk melangkah ke era lebih
profesional.
"Untuk itu, pengurusan
yang masih berada di takuk lama seharusnya bangkit untuk mengikut era
pengurusan moden dan mematuhi peraturan sudah ditetapkan. Jika mereka mengikut
garis panduan, sudah tentu masalah sebegini tidak akan berlaku," katanya
ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, badan
pengendali bola sepak itu mengesahkan semua pasukan yang beraksi dalam Liga
Super perlu melengkapkan pendaftaran dan dokumen untuk memperolehi lesen kelab
bagi bertanding dalam saingan Liga Super musim ini.
Situasi ini sekali gus
menyaksikan kegagalan pasukan FELDA United mendapatkan lesen kelab menyebabkan
mereka terpaksa 'disingkirkan' ke saingan Liga Perdana pada musim ini.
Bagi pasukan yang beraksi
dalam Liga Perdana pula, penguatkuasaan lesen kelab akan dilaksanakan bermula
musim 2019 dan mereka perlu melengkapkan proses diperlukan bagi memperolehi
lesen untuk bertanding bagi musim 2020.
Sebagai rekod, setiap
pasukan yang memohon lesen kelab perlu melepasi penilaian dibuat ke atas enam
kriteria utama iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran, perundangan,
kewangan dan perniagaan seperti termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Edisi 2017.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan