JURULATIH Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu anak buahnya
bersedia berdepan siapa saja pencabar pada saingan Piala AFF bermula dari 8
hingga 15 Disember depan dengan undian berlangsung di Jakarta, Rabu ini.
Saingan kali ini berbeza apabila setiap pasukan akan mengharungi
perlawanan di gelanggang sendiri dan gelanggang lawan di peringkat kumpulan.
Malaysia yang menduduki ranking ke-170 dunia berada dalam balang
dua dengan Indonesia manakala juara bertahan Thailand dan Vietnam diletakkan
dalam balang satu.
Myanmar dan Filipina berada di balang tiga manakala bekas juara
Singapura dan Kemboja balang empat.
Laos dan Brunei atau Timor Leste pula berada dalam balang lima.
Pemenang pusingan playoff sama ada Brunei dan Timor Leste bakal mengisi slot
pasukan ke-10.
Pada edisi 2016, Thailand mengalahkan Indonesia dengan agregat
3-2 di final manakala Malaysia di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee gagal
melepasi peringkat kumpulan.
“Ia bagus untuk pasukan beraksi di tempat sendiri dan di tempat
lawan di peringkat kumpulan kerana semua pasukan berpeluang melakukan yang
terbaik. Bagaimanapun, pemain perlu bersedia dari segi mental kerana perlu
menempuh perjalanan sepanjang kejohanan itu,” kata Cheng Hoe.
“Kita diundi dalam kumpulan mana tidak penting kerana standard
permainan di kalangan pasukan di rantau ini hampir sama.”
Cheng Hoe bagaimanapun perlu menyuntik motivasi kepada pemain
kerana berdasarkan kepada ranking FIFA, Malaysia ketinggalan dengan Vietnam di
tangga ke-130 dunia, Filipina (113), Thailand (122), Myanmar (135), Indonesia
(162) dan Kemboja (168).
“Objektif kami adalah untuk terus meningkat sepanjang kejohanan
ini. Sudah pasti kami mahu menang. Ia penting untuk kami mendapatkan
keyakinan,” katanya.
Cheng Hoe mengambil alih tugas daripada jurulatih Portugal Nelo
Vingada pada Disember lalu susulan keputusan buruk dalam kempen kelayakan Piala
Asia dan perlawanan persahabatan.
Pada bulan lalu, Cheng Hoe memulakan langkah baik sebagai
jurulatih apabila Malaysia menamatkan kemarau 12 perlawanan tanpa kemenangan
dengan mencatat kemenangan terbesar dalam tempoh 23 tahun selepas membelasah
Bhutan 7-0 pada aksi persahabatan.
“Kami
sedang menilai pasukan lawan untuk perlawanan persahabatan pada Julai ini,
serta September dan Oktober. Saya harap kami akan bermain dalam tiga atau empat
perlawanan persahabatan sebelum Piala AFF,” kata Cheng Hoe.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan