TAN Cheng Hoe. - Foto
NSTP
KUALA LUMPUR: Jurulatih
Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu anak buahnya bersedia berdepan siapa saja
pencabar pada saingan Piala AFF bermula dari 8 hingga 15 Disember depan dengan
undian berlangsung di Jakarta, Rabu ini.
Saingan kali ini berbeza
apabila setiap pasukan akan mengharungi perlawanan di gelanggang sendiri dan
gelanggang lawan di peringkat kumpulan.
Malaysia yang menduduki
ranking ke-170 dunia berada dalam balang dua dengan Indonesia manakala juara
bertahan Thailand dan Vietnam diletakkan dalam balang satu.
Myanmar dan Filipina berada
di balang tiga manakala bekas juara Singapura dan Kemboja balang
empat.
Laos dan Brunei atau Timor
Leste pula berada dalam balang lima. Pemenang pusingan playoff sama ada Brunei
dan Timor Leste bakal mengisi slot pasukan ke-10.
Pada edisi 2016, Thailand
mengalahkan Indonesia dengan agregat 3-2 di final manakala Malaysia di bawah
kendalian Datuk Ong Kim Swee gagal melepasi peringkat kumpulan.
"Ia bagus untuk
pasukan beraksi di tempat sendiri dan di tempat lawan di peringkat kumpulan
kerana semua pasukan berpeluang melakukan yang terbaik. Bagaimanapun, pemain
perlu bersedia dari segi mental kerana perlu menempuh perjalanan sepanjang
kejohanan itu," kata Cheng Hoe.
"Kita diundi dalam
kumpulan mana tidak penting kerana standard permainan di kalangan pasukan di
rantau ini hampir sama."
Cheng Hoe bagaimanapun
perlu menyuntik motivasi kepada pemain kerana berdasarkan kepada ranking FIFA,
Malaysia ketinggalan dengan Vietnam di tangga ke-130 dunia, Filipina (113),
Thailand (122), Myanmar (135), Indonesia (162) dan Kemboja
(168).
"Objektif kami adalah
untuk terus meningkat sepanjang kejohanan ini. Sudah pasti kami mahu menang. Ia
penting untuk kami mendapatkan keyakinan," katanya.
Cheng Hoe mengambil alih
tugas daripada jurulatih Portugal Nelo Vingada pada Disember lalu susulan
keputusan buruk dalam kempen kelayakan Piala Asia dan perlawanan
persahabatan.
Pada bulan lalu, Cheng Hoe
memulakan langkah baik sebagai jurulatih apabila Malaysia menamatkan kemarau 12
perlawanan tanpa kemenangan dengan mencatat kemenangan terbesar dalam tempoh 23
tahun selepas membelasah Bhutan 7-0 pada aksi persahabatan.
"Kami sedang menilai
pasukan lawan untuk perlawanan persahabatan pada Julai ini, serta September dan
Oktober. Saya harap kami akan bermain dalam tiga atau empat perlawanan
persahabatan sebelum Piala AFF," kata Cheng Hoe.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan