KEVIN Ramalingam. -
Foto NSTP
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia
(MFL), Kevin Ramalingam menegaskan pihaknya sudah memberikan pertimbangan
sewajarnya sebelum menghukum Kuantan FA dengan menyingkirkan kelab itu daripada
saingan Liga Malaysia (Liga M), 21 April lalu.
Katanya, dakwaan pihak pengurusan Kuantan FA bahawa mereka tidak
berlaku adil adalah tidak benar kerana tiada jaminan masalah kewangan skuad The
Seagulls itu dapat diselesaikan dengan penajaan baharu.
"Kita sudah beri banyak masa dan pertimbangan kepada
Kuantan FA untuk bertanding musim ini sehingga tindakan itu dipertikaikan ramai
pihak kerana kami dikatakan tidak tegas.
"Dakwaan menyatakan MFL tidak adil dalam membuat keputusan
adalah tidak benar kerana sudah banyak pertolongan diberikan selama ini.
Masalah sekarang pihak pengurusan Kuantan FA sudah tidak boleh mengawal pegawai
dan pemain mereka sehingga tidak menghadiri perlawanan maka itu satu kesalahan
besar," kata Kevin ketika dihubungi, hari ini.
Semalam, Timbalan Presiden Kuantan FA, Datuk Wan Solihin Wan
Hassan menyelar tindakan drastik MFL kerana tidak memberi masa untuk mereka
mendapatkan penaja baharu bagi 'menghidupkan' semula kelab itu yang dilanda
masalah kewangan kritikal.
Beliau berkata, tindakan menyingkirkan Kuantan FA daripada
Liga-M akan memburukkan lagi keadaan ketika mereka berdepan masalah tunggakan
gaji pemain.
Kevin berkata, tiada jaminan boleh diberikan pengurusan Kuantan
FA bahawa insiden kelab Liga Perdana itu tidak turun beraksi menentang PDRM di
Stadium Shah Alam pada 15 April lalu tidak berulang kembali.
"Kuantan FA berkata mereka sudah mendapatkan penaja baharu,
tapi kenyataan ini sudah diberikan pada awal tahun lagi, macam mana kita nak
tahu dengan adanya penaja baharu itu, tidak akan berlaku lagi insiden sama pada
perlawanan seterusnya?
"Jadi soal MFL tak beri cukup pertimbangan tak timbul dan
saya percaya semua pihak faham situasi ini," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan