ANNUAR
menyatakan dirinya masih terkejut selepas KLFA mencalonkan dirinya untuk
bertanding merebut jawatan Presiden FAM pada Kongres FAM ke-54 pada Julai
depan.
BEKAS Presiden
Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa (gambar) mendedahkan
beliau masih belum membuat keputusan sama ada bersetuju atau tidak untuk
bertanding merebut jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada
Kongres FAM ke-54 yang bakal berlangsung pada Julai depan.
Kelmarin, pemangku Presiden FAM, Datuk
Yusoff Mahadi telah mengumumkan tiga individu iaitu Setiausaha Agung FAM, Datuk
Hamidin Mohd. Amin; Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Abdul
Azim Mohd. Zabidi dan Annuar dicalonkan untuk merebut jawatan Presiden FAM.
Seramai 18 daripada 20 ahli gabungan FAM
telah mencalonkan Hamidin, manakala baki dua ahli gabungan iaitu Persatuan Bola
Sepak Negeri Pahang (PBNP) mencalonkan Azim, manakala Annuar pula mendapat
pencalonan daripada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).
Ketika ditanya sama ada beliau berminat
untuk bertanding selepas dicalonkan oleh KLFA, Annuar tanpa berselindung
mengakui beliau masih belum membuat keputusan untuk bertanding pada Kongres FAM
ke-54 itu.
“Pertama saya mahu mengucapkan terima
kasih kepada KLFA kerana memberikan kepercayaan kepada saya apabila mencalonkan
saya untuk bertanding jawatan Presiden FAM.
“Saya sendiri akui masih terkejut tetapi
buat masa ini, saya mahu pertimbangkan dahulu dan masih belum membuat
keputusan.
“Banyak perkara saya perlu lihat selepas
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang baru sahaja selesai. Jadi, saya juga ada
komitmen lagi dan seperti saya katakan tadi, saya perlu berfikir dahulu.
“Sama ada saya bertanding atau sebaliknya,
jawapan itu dibuat sebaik saya ada ilham selepas berehat untuk beberapa hari
sebaik habis bahang PRU-14 ini,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad semalam.
Kosmo! sebelum
ini melaporkan, Hamidin telah menerima 18 daripada 20 pencalonan untuk
bertanding jawatan Presiden FAM.
Ia susulan cadangan daripada bekas Presiden
FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mahu Hamidin dipilih menjadi pemimpin
tertinggi badan induk bola sepak negara seterusnya selepas baginda meninggalkan
kerusi panas yang disandangnya pada Mac lalu.
Bagaimanapun, PBNP kelmarin telah
mencalonkan Azim, manakala Annuar pula membuat kejutan dengan kembali
bertanding untuk merebut jawatan Presiden FAM.
Sebelum ini, Annuar telah menarik diri
daripada bertanding merebut jawatan Presiden FAM pada Kongres FAM Mac tahun
lalu yang menyaksikan Tunku Ismail menang tanpa bertanding.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan