Calon rebut kerusi Presiden FAM perlu bentang
visi, pelan pembangunan skuad kebangsaan
B. Sathianathan
KUALA LUMPUR 12 Mei - Ibarat Pilihan Raya Umum
lalu, Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), B. Sathianathan
menggesa semua calon Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) turun padang
ala berkempen dengan bertemu kesemua 20 ahli gabungan bagi menjelaskan
‘manifesto’ masing-masing.
Katanya, reputasi atau pengalaman ketiga-tiga
calon yang bertanding sahaja tidak akan cukup untuk mencerahkan peluang mereka
dalam Kongres pemilihan FAM Ke-54, 14 Julai ini jika tidak disokong dengan
tindakan meluangkan masa untuk mendekati hati budi ‘pengundi’ atau pemegang
taruh utama persatuan itu.
“Orang politik atau siapa sahaja calon yang mahu
menduduki kerusi No. 1 itu kena rajin buat kerja, dekati ahli gabungan, jumpa
mereka dan jelaskan apa manifesto anda seperti visi, dasar, cara mendapatkan
dana, penstrukturan FAM, pelan pembangunan akar umbi dan pasukan negara.
“Selain itu, kami ahli gabungan mahu Presiden
nanti adalah orang yang boleh buat keputusan segera tanpa terlalu menunggu Majlis
atau Kongres FAM lagi sebab inilah arus bola sepak zaman sekarang yang turut
telah menjadi satu industri sukan,” katanya.
Bekas jurulatih kebangsaan yang pernah membantu
negara menjuarai Pestabola Merdeka 2007 itu mengulas mengenai persaingan tiga
penjuru untuk merebut kerusi panas FAM yang kosong selepas Tunku Ismail Sultan
Ibrahim meletakkan jawatan pada 25 Mac lalu.
Selepas pencalonan ditutup semalam, dua tokoh
yang dicalonkan untuk menyaingi Datuk Hamidin Mohd. Amin bagi jawatan itu ialah
Pengerusi Institut Sukan Negara yang juga Timbalan Presiden Majlis Olimpik
Malaysia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi dan bekas Timbalan Presiden FAM,
Tan Sri Annuar Musa.
Azim dicalonkan oleh Persatuan Bola Sepak Pahang
(PBP) manakala Annuar diketengahkan oleh Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur
(PBKL) walaupun pada mulanya cuba menamakan Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku
Muhammad Fa-iz Petra.
Mereka perlu mengesahkan sama ada bersetuju atau
tidak dengan pencalonan masing-masing sebelum atau pada 14 Jun ini.
Hamidin, yang merupakan Setiausaha Agung FAM
ketika ini, mendapat pencalonan majoriti ahli gabungan selain sokongan
Jawatankuasa Eksekutif persatuan pada 2 April lalu selepas satu mesyuarat khas
di Wisma FAM, Petaling Jaya, Selangor hasil saranan Tunku Ismail yang berundur
gara-gara kejatuhan ranking pasukan negara.
Jawatan Presiden FAM kini dipangku Timbalannya,
Datuk Wira Yusoff Mahadi sejak 2 April lalu.
Sathianathan berkata, selain mampu meluangkan
masa, seseorang Presiden FAM juga perlu arif mengenai cara terbaik untuk
memikat para penaja dalam menyumbangkan dana ke arah pembangunan bola sepak
negara secara konsisten.
“Jika menilai ketiga-tiga calon itu, saya fikir
Datuk Hamidin yang mempunyai kelebihan dan PJBM pada dasarnya menyokong beliau
sebagai Presiden baharu FAM. Beliau memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam
bidang pentadbiran bola sepak termasuk ketika di Selangor.
“Selain disenangi banyak pihak (kalangan negeri
ahli gabungan FAM), TMJ (Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail) pun sudah nampak
ketokohannya sebagai bakal Presiden apabila menyarankan namanya lebih awal
kepada Exco FAM,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan