HAMIDIN MOHD. AMIN
PETALING JAYA 12 Mei - Teka-teki mengenai sama
ada kerusi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan menyaksikan adanya
persaingan telah pun terjawab semalam.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi,
dalam satu kenyataan semalam telah mengumumkan tiga nama telah dicalonkan oleh
ahli gabungan FAM untuk merebut jawatan tertinggi badan induk itu.
Mereka ialah bekas Timbalan Presiden FAM, Tan
Sri Annuar Musa; Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin dan Pengerusi
Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi.
Walau bagaimanapun, Hamidin yang ditemui semasa
majlis sambutan Hari Bola Sepak Akar Umbi AFC 2018 enggan mengulas mengenai
persaingan tiga penjuru tersebut.
“Buat masa ini, saya tidak boleh beri sebarang
komen. Saya akan komen bila sampai masanya,” katanya ringkas.
Selepas tempoh pencalonan yang dibuka pada 2
April lepas berakhir pada 5 petang semalam, FAM hanya menerima tiga nama
berkenaan sebagai calon daripada ahli gabungan FAM yang telah mengembalikan
kertas pencalonan masing-masing.
Sehubungan itu, tiga calon berkenaan perlu
mengesahkan penerimaan pencalonan masing-masing sebelum atau pada 14 Jun, iaitu
sebulan sebelum berlangsungnya Kongres FAM Ke-54 pada 14 Julai ini.
Kerusi tertinggi FAM itu kosong apabila Tunku
Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan peletakan jawatannya pada 25 Mac lalu dengan
mencadangkan Hamidin sebagai individu paling layak untuk menerajui FAM. –
BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan