JUMLAH pencalonan terbesar bagi jawatan Presiden Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) yang diterima Setiausaha Agungnya, Datuk Hamidin Mohd
Amin dilihat masih belum menjanjikan 'tiket automatik' untuk beliau menduduki
kerusi panas itu.
Tegas bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Redzuan Sheikh
Ahmad, jumlah pencalonan yang diterima Hamidin itu bukanlah gambaran sebenar
kerana berkemungkinan beberapa perkara di luar jangkaan mampu berlaku pada
pemilihan yang akan dilaksanakan pada Kongres FAM, 14 Julai ini.
"Pada awalnya, kita menjangkakan tidak ada pertembungan
bagi jawatan Presiden FAM namun akhirnya, pertembungan tiga penjuru yang
berlaku apabila ada ahli gabungan yang mengambil keputusan untuk mencalonkan
individu pilihan mereka.
"Berdasarkan senario yang pernah berlaku, jumlah pencalonan
yang tinggi kadang kala tidak dapat memberi bayangan apa yang akan terjadi
semasa berlangsungnya pemilihan kerana ada calon pilihan yang pernah tumbang
dalam sesi pemilihan sebelum ini.
"Saya tidak terkejut dengan situasi ini kerana tidak logik
untuk menyatakan bahawa tiada calon yang akan mencabar Hamidin untuk jawatan
itu. Namun secara tidak langsung ia menyajikan persaingan yang sihat sekali gus
menepati prinsip demokrasi.
"Bagaimanapun, semuanya terserah kepada ahli gabungan yang
akan melakukan pemilihan bagi memilih calon terbaik yang dirasakan mampu untuk
memberi nafas baharu kepada FAM," katanya ketika dihubungi hari ini.
Daripada 20 ahli gabungan badan induk itu, Hamidin mendapat 18
pencalonan sementara dua lagi pencabarnya iaitu Pengerusi Institut Sukan Negara
(ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan bekas Timbalan Presiden FAM, Tan
Sri Annuar Musa masing-masing mendapat satu pencalonan.
Sebelum ini, Sukan NSTP melaporkan persaingan sengit tiga
penjuru bakal disaksikan bagi merebut jawatan Presiden FAM apabila Persatuan
Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) membuat keputusan mengejut mencalonkan
Annuar pada saat akhir sebelum tempoh pencalonan ditutup semalam.
Pencalonan
Annuar yang juga adalah bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) itu
dibuat sehari selepas Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mencalonkan
Abdul Azim untuk berdepan calon pilihan Exco FAM iaitu Hamidin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan