DATUK Hamidin Mohd Amin. - Foto Owee Ah
Chun
KUALA LUMPUR: Tindakan dua ahli gabungan
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang cuba 'menentang arus' dengan
mencalonkan pilihan sendiri bagi jawatan Presiden FAM sekali gus mencabar calon
pilihan, Datuk Hamidin Mohd Amin perlu dilihat daripada dua sisi.
Pemangku Presidennya, Datuk Yusoff Mahadi tidak menafikan tindakan itu
memang boleh dianggap sebagai 'menentang arus' namun beliau mengakui ahli
gabungan bebas untuk menamakan sesiapa sahaja yang difikirkan layak dan juga
sesuai untuk menduduki kerusi panas badan induk itu.
"Secara rasminya, kita sudah mendapat pencalonan keseluruhan
justeru kita kena menghormati keputusan ahli gabungan dan menerima hakikat
bahawa pertembungan akan berlaku pada kongres nanti.
"Apapun, kalau kita hendak bercakap
mereka cuba menentang arus apabila meletakkan calon lain pun boleh kerana kita
sendiri tahu bahawa Hamidin mendapat 18 pencalonan jadi saya lihat sokongan
agak besar di situ.
"Tetapi kalau kita mengambil kira
daripada sudut lain, itulah konsep demokrasi dalam pemilihan kerana
masing-masing berhak untuk memiliki pandangan tersendiri dan meletakkan calon
yang dirasakan sesuai.
"Sebab itulah kita perlu melihat
situasi ini daripada dua sisi. Ini demokrasi dan dibenarkan dalam FAM dan kini
terpulang kepada calon sama ada mereka sanggup ataupun tidak untuk menerima
pencalonan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebelum ini, Sukan NSTP melaporkan
persaingan sengit tiga penjuru bakal disaksikan bagi merebut jawatan Presiden
FAM apabila Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) membuat keputusan mengejut
mencalonkan bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa pada saat akhir
sebelum tempoh pencalonan ditutup kelmarin.
Pencalonan Annuar yang juga adalah bekas
Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) itu dibuat sehari selepas
Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) mencalonkan Pengerusi Institut Sukan
Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berdepan calon pilihan Exco FAM
iaitu Hamidin.
Ketiga tiga calon diberi tempoh selama
sebulan untuk mengesahkan sama ada mereka bersedia untuk bertanding pada
Kongres FAM ke-54 yang akan berlangsung 14 Julai ini.
Kerusi Presiden FAM dikosongkan selepas
penyandangnya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengambil keputusan untuk melepaskan
jawatannya dengan beliau turut mencadangkan nama Hamidin selaku calon Presiden
FAM yang baharu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan