KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tampil menjelaskan
pindaan tarikh jendela perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) dilakukan atas
permintaan pasukan bertanding.
Penjelasan itu dibuat selepas pindaan jendela perpindahan yang
pada asalnya akan dibuka 14 Mei hingga 10 Jun depan ditukar kepada Isnin ini
hingga 3 Jun dipertikai beberapa pihak khususnya peminat bola sepak
tempatan.
Mereka mendakwa pindaan tarikh berkenaan dibuat kerana MFL ingin
memberi keistimewaan terhadap pasukan tertentu untuk mendaftarkan pemain baharu
lebih awal daripada tarikh asal yang ditetapkan badan pengelola Liga M itu.
Namun, MFL menafikan dakwaan berkenaan dengan menjelaskan
keputusan itu dibuat selepas mendapat kelulusan pada mesyuarat Lembaga Pengarah
badan induk terbabit, 5 Mac lalu.
"Lembaga Pengarah MFL yang membabitkan wakil pasukan
sebulat suara membuat keputusan untuk meminda tarikh berkenaan kepada kepada 7
Mei hingga 3 Jun.
"Ia berikutan permintaan daripada pasukan yang mahukan
perpindahan berlaku pada titik tengah Liga M. MFL sudah mengeluarkan surat
kepada 24 pasukan Liga M berkait keputusan ini pada 12 Mac lalu.
"Semua keputusan berkaitan Liga M begini dibuat Lembaga
Pengarah MFL yang membabitkan wakil pasukan," kata MFL dalam kenyataan,
malam tadi.
Jendela perpindahan kedua bakal menyaksikan beberapa pasukan
melakukan perubahan dalam skuad masing-masing terutama Pahang yang mahu
mendapatkan Francis Forkey Doe selepas bekas pemain Selangor itu dibelenggu
masalah kecederaan serius sejak Mac lalu.
Namun, pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) tampak
mendahului pasukan lain apabila sudah mengikat beberapa pemain termasuk Jorge
Silva, Kiko Insa dan Lucas Ontivero.
JDT yang juga juara Liga Super empat kali berturut-turut
kekurangan import selepas kehilangan khidmat pemain kelahiran Argentina, Jorge
Pereyra Diaz sejak Februari lalu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan