Pemain import kuasai senarai penjaring terbanyak Liga Malaysia setakat ini
SAFAWI RASHID pemain tempatan paling banyak
menjaringkan gol musim ini.
KUALA LUMPUR 7 Mei - Penguasaan pemain import
dalam senarai penjaring terbanyak Liga Malaysia (Liga M) menimbulkan
kebimbangan terhadap keupayaan Harimau Malaya untuk merobek gawang lawan
apabila beraksi pada kejohanan Piala AFF, November ini.
Berdasarkan kedudukan semasa yang dikeluarkan
Malaysia Football League (MFL) hari ini, penyerang Selangor, Rufino Segovia
mendahului carta penjaring terbanyak dengan tujuh gol.
Gilmar da Silva (Perak), Patrick Cruz (Pahang),
Sandro da Silva (Kedah), Tchetche Kipre (Terengganu) dan Yahor Zubovich (Melaka
United) masing-masing enam gol.
Selepas tamat sembilan perlawanan Liga Super,
penjaring terbanyak dalam kalangan pemain tempatan adalah penyerang Johor Darul
Ta’zim (JDT), Safawi Rasid dengan tiga gol sahaja.
Biarpun dilihat tidak memiliki penyerang yang
benar-benar berkaliber, namun Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe
menegaskan situasi itu tidak menggambarkan kemampuan sebenar pasukannya
menjelang kejohanan 8 November hingga 15 December itu.
“Saya tidak fikir perkara ini berlaku di
Malaysia sahaja sebab jika anda lihat Liga Perdana Inggeris, ketika ini Mohamed
Salah (Liverpool, Mesir) mendahului senarai penjaring terbanyak dengan 43 gol.
“Begitu juga di Sepanyol apabila Lionel Messi
(Barcelona, Argentina) dan Cristiano Ronaldo (Real Madrid, Portugal) sering
mendominasi penjaring terbanyak La Liga. Ia tidak membunuh bola sepak mereka
sebab Sepanyol pernah muncul juara dunia dan Eropah.
“Saya tidak perlu bimbang dengan situasi ini.
Sudah menjadi lumrah pemain import kerap diturunkan dan saya tidak boleh
mempertikaikan kerana semua itu keputusan jurulatih pasukan masing-masing,”
katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Bagaimanapun kata Cheng Hoe, beliau melihat
perkembangan ini dari sudut positif iaitu kehebatan pemain import akan mencabar
pemain tempatan untuk cuba menyaingi mereka.
“Bagaimanapun, bukan jumlah gol yang dijadikan
ukuran dalam pemilihan sebaliknya pemain perlu kerap diturunkan untuk
memudahkan kami menilai prestasi mereka.
“Tidak menjaringkan gol tidak mengapa. Saya
harap mereka boleh bermain dalam satu pasukan apabila dipanggil. Penting untuk
mereka memastikan agar kerap diturunkan bagi membolehkan mereka memperoleh
minit permainan dengan lebih banyak,” katanya lagi.
Malaysia, juara 2010 diundi dalam Kumpulan A
bersama juara 2008, Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos manakala Thailand
mengetuai Kumpulan B yang turut dibarisi Indonesia, Filipina, Singapura dan Timor
Leste atau Brunei.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan