LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) tetap akan meneruskan kempen Piala
Malaysia bermula awal Ogos ini seperti dirancang meskipun ia dijangka akan
menjejaskan persiapan skuad bawah 23 tahun negara (B-23) ke Sukan Asia
Indonesia.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya Kevin Ramalingam, sudah
tidak ada ruang untuk menangguhkan kejohanan tertua di Asia itu memandangkan
masa suntuk sebelum saingan Piala AFF 2018 bermula November depan.
"Kita masih dalam proses untuk menyiapkan jadual Piala
Malaysia jadi sudah pasti semua perkara akan diambil pertimbangan termasuk
keperluan skuad B-23,” kata Kevin.
"Jika kita menangguhkan perlawanan Piala Malaysia sehingga
selepas Sukan Asia, ia akan mengambil masa yang lama memandangkan selepas itu
ada kalendar FIFA hampir dua minggu. Adakah kita sanggup menghentikan kejohanan
ini sehingga lima, enam minggu?”
Sukan NSTP sebelum ini melaporkan kebimbangan Kim Swee mengenai
persiapan pasukannya kerana belum ada jaminan beliau akan dapat memanggil
pemain terbaik ke Sukan Asia memandangkan jadual bertindih dengan Piala
Malaysia.
Ketika mempersiapan pasukan menghadapi Kelayakan Piala
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok, Thailand pada Julai tahun
lalu, Kim Swee dikejutkan apabila hanya enam daripada 26 pemain yang
disenaraikan melaporkan diri pada hari pertama latihan pusat.
Melihat kepada situasi itu, Pemangku Presiden Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi berharap agar pasukan negeri
dan kelab dapat memberi pelepasan kepada pemain menyertai skuad B-23.
Kevin berkata, pihak MFL sebenarnya tersepit dalam memberi
ruang sama rata kepada skuad B-23 dan skuad senior.
"Kali
ini Piala AFF bermula awal pada November jadi kita kena selesaikan Piala
Malaysia sebelum itu, jika tidak ia akan memberi masalah kepada skuad senior
pula. Jadi dalam situasi ini, kita tersepit antara keperluan skuad senior dan
B-23," katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan