KETUA Jurulatih skuad
B-19, Bojan Hodak (tengah) ketika sesi latihan ringan di Wisma FAM. - Foto
LUQMAN HAKIM ZUBIR
KUALA LUMPUR: Jurulatih
skuad bawah 19 tahun negara (B-19), Bojan Hodak mengharapkan aksi luar biasa
anak buahnya untuk memberi saingan di Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia
(AFC) di Indonesia pada 18 Oktober hingga 4 November ini.
Skuad muda
negara itu dilihat berpeluang untuk mencari tempat ke suku akhir apabila
berjaya mengelak daripada bertemu pasukan terbaik Asia selepas diundi dalam
Kumpulan D bersama Arab Saudi, Tajikistan dan China.
Bagaimanapun
Hodak tidak menganggap ia laluan mudah buat anak buahnya yang berada di ranking
dua terbawah dalam kalangan 16 pasukan.
"Anda
perlu faham, Malaysia antara pasukan di ranking paling bawah jadi siapa saja
lawan yang bakal ditemui pasti sukar. Memang ia akan lagi sukar jika berada
dalam kumpulan Jepun, Korea Selatan dan Australia dan kami berjaya mengelak
daripada bertemu pasukan terbaik ini.
"Tapi
Arab Saudi adalah pasukan ketiga terbaik sebelum ini, China pula melabur banyak
wang dan mereka semakin meningkat. Tajikistan pasukan baru dan memiliki fizikal
yang kuat. Mereka singkirkan Uzbekistan jadi mereka pasukan yang bagus,"
katanya.
Hodak
memulakan kem latihan pusat bermula Ahad lalu dengan hanya memanggil 27 pemain
daripada skuad Piala Presiden dan Piala Belia memandangkan pemain daripada skuad
Liga Super dan Liga Perdana mempunyai komitmen bersama pasukan masing-masing.
Selepas
sembilan hari berlatih di Wisma FAM, seramai 23 pemain terbaik akan dibawa ke
Bangkok, Thailand pada 29 Mei untuk latihan dan tiga perlawanan persahabatan di
sana selama seminggu sebelum pulang ke tanah air pada 5 Jun ini.
Hodak percaya,
skuadnya yang dilabel bukan pilihan mampu melakukan kejutan berdasarkan
kemampuan pemain ketika ini.
"Tahun
lalu ketika saya bercakap dalam bilik persalinan, hanya Akhyar Rashid bermain
dalam Liga Super, tapi sekarang kita sudah ada 10 hingga 11 pemain beraksi
dalam Liga Super dan Liga Perdana jadi pasukan ini semakin meningkat,"
jelasnya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan