KETUA Pegawai
Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, Kuantan FA tidak boleh menyalahkan
pihak lain atas kesalahan sendiri dan perlu bertanggungjawab sepenuhnya. - Foto
Hasriyasyah Sabudin
KUALA LUMPUR: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) jelas tidak bersedia
untuk menjadi 'pak sanggup' bagi menyelesaikan tunggakan gaji pemain Kuantan FA
meskipun kelab Liga Perdana itu tetap menuding jari ke arah pentadbir liga
tempatan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam berkata, Kuantan
FA tidak boleh menyalahkan pihak lain atas kesalahan sendiri dan perlu
bertanggungjawab sepenuhnya dalam melangsaikan hutang gaji 24 pemain bernilai
lebih RM762,000.
"Mereka yang menguruskan dan memiliki Kuantan FA kenapa
cuba mengalihkan tanggungjawab kepada orang lain? Jangan bagi alasan tak nak
bayar, tunggakan gaji itu adalah tanggungjawab mereka," katanya, semalam.
Kemelut tunggakan gaji pemain Kuantan FA itu berlarutan selepas
Timbalan Presiden Kuantan FA, Datuk Wan Solihin Wan Hassan mendakwa mereka
tidak mempunyai sumber kewangan meskipun diarahkan oleh Jawatankuasa Status
untuk menyelesaikannya dalam tempoh 30 hari, minggu lalu.
Malah beliau menganggap MFL seharusnya bertanggung jawab atas
masalah itu apabila menggugurkan mereka daripada saingan Liga Malaysia pada
April lalu hingga mereka tidak sempat mendapatkan penaja baru.
Menurut Kevin, alasan Wan Solihin itu adalah alasan lapuk yang
kerap diulang sejak tahun lalu.
"Dalam kes Kuantan FA, kami dikecam kerana memberi banyak
ruang kepada mereka untuk menyelesaikan masalah kewangan. Jadi jika kami
dikatakan tak bagi ruang kepada Kuantan FA, pada saya itu hanya alasan mereka
untuk lari daripada tanggungjawab.
"Kami juga sudah menyerahkan geran tahunan untuk membantu
mereka tapi geran itu hanya dapat menampung hutang musim lalu, jadi mereka kena
mencari jalan sendiri," katanya.
Selain Kuantan FA, Jawatankuasa Status FAM dalam mesyuarat pada
14 April lalu turut memutuskan kelab PJ Rangers perlu membayar pampasan kontrak
sebanyak RM120,000 kepada pemain, Abdullah Yusoff manakala Persatuan Bolasepak
Perlis (PFA) pula perlu melunaskan tuntutan gaji 22 pemain sejumlah RM182,000.
Mereka diberikan tempoh selama 30 hari untuk menyelesaikan semua
tuntutan bagi mengelak perkara itu dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di
bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan