KEVIN RAMALINGAM
KUALA LUMPUR: Liga
Bolasepak Malaysia (MFL) tetap akan meneruskan kempen Piala Malaysia bermula
awal Ogos ini seperti dirancang meskipun ia dijangka akan menjejaskan persiapan
skuad bawah 23 tahun negara (B-23) ke Sukan Asia Indonesia.
Menurut Ketua Pegawai
Eksekutifnya Kevin Ramalingam, sudah tidak ada ruang untuk menangguhkan
kejohanan tertua di Asia itu memandangkan masa suntuk sebelum saingan Piala AFF
2018 bermula November depan.
"Kita masih dalam
proses untuk menyiapkan jadual Piala Malaysia jadi sudah pasti semua perkara
akan diambil pertimbangan termasuk keperluan skuad B-23," kata Kevin.
"Jika kita
menangguhkan perlawanan Piala Malaysia sehingga selepas Sukan Asia, ia akan
mengambil masa yang lama memandangkan selepas itu ada kalendar FIFA hampir dua
minggu. Adakah kita sanggup menghentikan kejohanan ini sehingga lima, enam
minggu?"
Sukan NSTP sebelum ini
melaporkan kebimbangan Kim Swee mengenai persiapan pasukannya kerana belum ada
jaminan beliau akan dapat memanggil pemain terbaik ke Sukan Asia memandangkan
jadual bertindih dengan Piala Malaysia.
Ketika mempersiapan pasukan
menghadapi Kelayakan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok,
Thailand pada Julai tahun lalu, Kim Swee dikejutkan apabila hanya enam daripada
26 pemain yang disenaraikan melaporkan diri pada hari pertama latihan pusat.
Melihat kepada situasi itu,
Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Yusoff Mahadi
berharap agar pasukan negeri dan kelab dapat memberi pelepasan kepada pemain
menyertai skuad B-23.
Kevin berkata, pihak
MFL sebenarnya tersepit dalam memberi ruang sama rata kepada skuad B-23 dan
skuad senior.
"Kali ini Piala AFF
bermula awal pada November jadi kita kena selesaikan Piala Malaysia sebelum
itu, jika tidak ia akan memberi masalah kepada skuad senior pula. Jadi dalam
situasi ini, kita tersepit antara keperluan skuad senior dan B-23,"
katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan