BEKAS pemain kebangsaan, Zainal Abidin Hassan yakin saingan
merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kali ini amat
sengit.
Bagaimanapun pada masa sama beliau turut percaya calon yang
mempunyai pengetahuan dan pengalaman dalam bola sepak menjadi aspek penting
dalam mengisi kerusi nombor satu yang ditinggalkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim
itu.
“Ia satu saingan yang sengit (jawatan presiden). Kita
mengharapkan individu yang tepat dipilih sebagai presiden.
“Mereka bertiga berbakat namun adalah penting untuk mempunyai
pengetahuan dan pengalaman dalam bidang yang kita ceburi, contohnya dalam
konteks ini bola sepak. Sebagai presiden, penting untuk menangani aspek
pengurusan dengan baik,” jelasnya yang hadir pada majlis pelancaran Futbal
Fanatix Run @ Shah Alam di Shah Alam, hari ini.
Selepas tamat tempoh pencalonan awal bulan ini, FAM mengumumkan
tiga individu dicalon ahli gabungan untuk merebut kerusi nombor satu badan
induk bola sepak negara itu.
Selain Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin, dua lagi
adalah bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Institut
Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.
Mereka
bagaimanapun perlu mengesahkan penerimaan pencalonan sebelum atau pada 14 Jun
depan, genap sebulan sebelum berlangsungnya Kongres FAM Ke-54 pada 14 Julai.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan