Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Khamis, 10 Mei 2018

'Tsunami' bakal landa sukan negara?


PENSYARAH Kanan, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa. - Foto Nurul Shafina Jemenon

KUALA LUMPUR: Peralihan kuasa pentadbiran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) semalam dijangka turut memberi kesan kepada perkembangan sukan tanah air.   
Dengan Pakatan Harapan mengambil alih teraju daripada Barisan Nasional, jelas portfolio Menteri Belia dan Sukan yang sebelum ini disandang Khairy Jamaluddin Abu Bakar bakal bertukar tangan.   
Apa yang menjadi persoalan adakah segala program yang dilaksanakan oleh Khairy sebelum ini bakal diteruskan antaranya 'projek mega' - Program Podium membabitkan atlet elit, Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan Fit Malaysia. 
Bercakap mengenai persoalan itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sukan dan Rekreasi UiTM, Mohd Sadek Mustaffa, berkata beliau mengharapkan ada penambahbaikan dalam program sedia ada.   
"Biasanya Menteri Belia dan Sukan yang dilantik mahu melaksanakan pendekatan dan program yang baharu. Mungkin ada perubahan terhadap program sedia ada.    
"Jika masih diteruskan, Program Podium misalnya perlu diteliti semula cara pelaksanaan dan pengurusannya, serahkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) semula dan bukannya Institut Sukan Negara (ISN)," katanya.   
Selain itu, beberapa persatuan sukan kebangsaan yang diterajui ahli Barisan Nasional (BN) ketika ini perlu memikirkan semula kedudukan mereka jika mereka tidak boleh bekerjasama rapat dengan pentadbiran baharu Kementerian Belia dan Sukan (KBS).  
"Kita tahu, ada organisasi dan persatuan sukan kebangsaan diterajui oleh ahli politik (BN), jadi mereka perlu berlapang dada dan menjalin kerjasama yang baik dengan menteri baharu.    
"Jika mereka tidak boleh bekerjasama, saya fikir lebih baik mereka letak jawatan secara 'gentleman' kerana kita tidak boleh melucutkan jawatan mereka, kerana mereka dipilih dalam kalangan ahli persatuan itu sendiri," jelas Sadek.   
Angin perubahan juga bakal melanda persatuan bola sepak negeri di mana, jawatan presiden diisi oleh Menteri Besar sebelum ini.   
Antara negeri yang bakal berubah kepimpinan adalah Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah serta Terengganu dan menurut Sadek, ia tidak menjejaskan apa-apa selagi pelantikan itu berlandaskan perlembagaan persatuan bola sepak masing-masing.   
"Dengan kerajaan negeri masih menjadi sumber kewangan utama setiap pasukan, kuasa Menteri Besar amat penting dalam persatuan bola sepak negeri. Selagi pelantikan tidak melanggar perlembagaan dan persetujuan semua ahli, ia tidak ada masalah," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan