KUALA LUMPUR 9 Mei - “Kenapa perlu libatkan lagi
institusi raja yang akhirnya akan mencemari kemuliaannya apabila dicaci maki
peminat?” soal Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk
Wira Yusoff Mahadi.
YUSOFF MAHADI
Tegasnya, sejarah penglibatan Tengku Abdullah
Sultan Ahmad Shah dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden FAM sejak
2014 sudah membuktikan dan membawa masuk Dr. Tengku Muhammad Fa-iz Petra pasti
hanya mengulangi senario itu.
Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM, mengulas
percubaan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (PBKL) untuk mencalonkan Pemangku
Raja Kelantan itu dalam Kongres pemilihan persatuan ke-54 pada 14 Julai ini.
Tarikh tutup pencalonan adalah pada Jumaat ini.
Setiausaha Agung PBKL, Nokman Mustaffa yang bercakap
kepada Utusan Malaysia semalam mengesahkan pihaknya telah menghadap Tengku
Muhammad Fa-iz pada Sabtu lalu.
Selain itu, Nokman juga mendakwa mereka turut
mempertimbangkan tiga atau empat calon lain bagi kerusi No. 1 itu.
Setiausaha Agung, Datuk Hamidin Mohd. Amin
difahamkan telah mendapat pencalonan majoriti ahli gabungan FAM selain sokongan
Jawatankuasa Eksekutif (Exco) persatuan pada 2 April lalu untuk menggantikan
Tunku Ismail yang mengumumkan peletakan jawatan pada 25 Mac.
“Kecaman peminat kerana keputusan yang kurang
baik oleh pasukan kebangsaan menjadi faktor kedua-dua putera raja meletakkan
jawatan Presiden FAM, bukan kerana mereka tidak mampu atau cekap mengendalikan
persatuan.
“Saya harap PBKL berhati-hati dalam hal ini.
Kebanyakan pemegang taruh atau ahli gabungan sudah pun menyatakan sokongan
kepada Datuk Hamidin.
Exco pun menyokongnya sejajar dengan saranan Tunku
Ismail,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Yusoff turut mempersoalkan mengapa PBKL cuba
menamakan tokoh lain tetapi tidak pula mahu mengetengahkan mana-mana pemimpin
mereka sendiri sebagai calon Presiden FAM.
“Mungkin mereka ada agenda baharu atau idea yang
lebih baik dalam membawa perubahan yang mungkin tidak mampu kami dalam FAM
sekarang lakukan, jadi kenapa perlu bawa orang lain?
Kenapa tidak pemimpin PBKL
sendiri yang bertanding?
“Kalau sekadar untuk pertandingan jawatan itu
juga, apa perlunya?,” katanya yang memangku jawatan Presiden FAM sejak 2 April
lalu hasil mesyuarat khas pertama Exco di Kelana Jaya, Selangor.
Ahli gabungan FAM yang berhak mengundi dalam
Kongres nanti terdiri daripada 14 negeri termasuk Kuala Lumpur.
Ahli gabungan
lain adalah Polis, Angkatan Tentera Malaysia, Persatuan Bola Sepak Melayu
Malaysia (PBMM), Persatuan Bola Sepak Cina Malaysia (MCFA), Majlis Sukan India
Malaysia (MISC) dan Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM).
PROFIL DR. TENGKU MUHAMMAD FA-IZ PETRA
Adinda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V
Nama penuh: Tengku Muhammad Fa-iz Petra Sultan
Ismail Petra
Umur: 44 tahun
Tarikh lahir: 20 Januari 1974
Tempat lahir: Istana Kota Lama, Kota Bharu,
Kelantan
Keluarga: Putera kedua daripada empat bersaudara
Pendidikan: Kedoktoran Sejarah Purba Kolej
Universiti London, England
Pelantikan: Tengku Bendahara Kelantan (1989),
Tengku Mahkota Kelantan (2010), Pemangku Raja Kelantan (2016) – af
Tiada ulasan:
Catat Ulasan