SEHARI sebelum tarikh pencalonan bagi merebut jawatan Presiden
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berakhir, Persatuan Bolasepak Negeri Pahang
(PBNP) membuat kejutan apabila mencalonkan Datuk Seri Abdul Azim Mohd
Zabidi.
Keputusan itu sekali gus menyaksikan Azim yang juga Pengerusi
Institut Sukan Negara (ISN) akan menentang calon pilihan, Setiausaha Agung FAM,
Datuk Hamidin Mohd Amin dalam pertembungan satu lawan satu pada Kongres Tahunan
FAM, 14 Julai depan.
Sebelum ini, 18 ahli gabungan sudah menyatakan pendirian
mencalonkan Hamidin manakala PBNP dan Kuala Lumpur bersikap berdiam
diri.
Menurut Naib Presiden PBNP, Datuk Akbar V V Abu, mereka membuat
keputusan mencalonkan Azim yang baru memenangi jawatan Timbalan Presiden Majlis
Olimpik Malaysia (MOM), minggu lalu itu berdasarkan pengalaman yang
dimilikinya.
"PBNP sudah mengemukakan pencalonan Datuk Seri Abdul Azim
bagi jawatan presiden bagi penggal 2018-2021 di Kongres Tahunan
FAM.
"Pencalonan Azim ini berdasarkan pengalaman yang luas
dimiliki beliau dan diyakini akan dapat memikul amanah serta tanggung jawab
sebagai Presiden FAM.
"Kepimpinan beliau juga akan membantu FAM dalam mencapai
matlamat ke arah kegemilangan bola sepak negara seperti yang disasarkan,"
katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Pada bulan lalu, Exco FAM sebulat suara menerima peletakan
jawatan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim selepas hanya
setahun menerajui badan induk bola sepak tanah air itu.
Dalam mesyuarat khas itu turut menyaksikan timbalan presiden,
Datuk Yusoff Mahadi dilantik sebagai pemangku presiden seperti yang disyorkan
oleh Tunku Ismail sementara menunggu pelantikan presiden
baharu.
Tunku
Ismail yang kini menjadi Pengerusi Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menyatakan
sokongan kepada Hamidin untuk menjadi pengganti beliau dan cadangan itu turut
disambut baik oleh Exco FAM.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan