JURULATIH skuad
Harimau Malaysia, Tan Cheng Hoe. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
KUALA LUMPUR: Skuad Harimau
Malaya yang diundi dalam Kumpulan A Piala AFF perlu lebih berwaspada bagi
mengelak tragedi dua tahun lalu berulang meskipun berjaya mengelak daripada
diundi dalam kumpulan maut bagi saingan menggunakan format baharu bermula
November ini.
Selepas selesai majlis
undian kejohanan edisi ke-12 di Jakarta, Indonesia hari ini, skuad kendalian
Tan Cheng Hoe diundi bersama juara 2008 Vietnam, Myanmar, Kemboja dan Laos
dalam Kumpulan A.
Ia seperti perlawanan
ulangan peringkat kumpulan dua tahun lalu di Yangon apabila Harimau Malaya
bimbingan Datuk Ong Kim Swee ketika itu bertemu tiga pasukan terbabit kecuali
Laos bagi saingan awal.
Saingan kali ini berbeza
apabila pihak penganjur menggunakan format dua aksi di tempat sendiri dan dua
aksi tempat lawan bagi saingan awal.
Justeru, Cheng Hoe yang
dilantik mengambil alih tugas jurulatih Portugal, Nelo Vingada Disember tahun
lalu mahu anak buahnya tidak memandang mudah keupayaan lawan selepas mereka
terkandas di peringkat kumpulan.
"Ramai yang menyatakan
bahawa peluang kita cerah kali ini kerana tidak diundi dalam kumpulan maut,
tapi ini cuma di atas kertas. Kita tak boleh memandang mudah mana-mana pasukan.
Saya percaya Vietnam adalah pasukan pilihan, malah Myanmar juga sudah layak ke
separuh akhir sebelum ini.
"Begitu juga Laos dan
Kemboja, mereka juga boleh berikan saingan. Pada saya Kemboja boleh jadi
pasukan 'pengacau' dalam kumpulan ini juga. Kerana mereka ada pemain yang
beraksi di Malaysia," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Berbanding Kumpulan A,
saingan Kumpulan B dijangka lebih sengit dengan pertembungan juara bertahan
Thailand dan naib juara dua tahun lalu Indonesia selain Filipina, Singapura dan
pemenang pusingan kelayakan antara Brunei dan Timor Leste.
Cheng Hoe yang menjadi
penolong jurulatih kepada Datuk K Rajabobal ketika Harimau Malaya merangkul
gelaran pertama 2010 berkata, anak buahnya perlu lebih bersedia untuk bersaing
dalam format baru itu.
"Kita akan
bertemu Laos dan Myanmar di tempat sendiri manakala aksi melawan Vietnam
dan Kemboja di tempat lawan, saya harap pemain akan bersedia dari segi mental
dan fizikal kerana kita akan menempuh perjalanan keluar selepas bermain di
tempat sendiri.
"Persiapan rapi akan
dilakukan dan saya berharap sekurang-kurangnya akan ada tiga perlawanan
persahabatan sebelum Piala AFF bermula," katanya.
Pada kejohanan 2016, juara
lima kali Thailand menewaskan Indonesia menerusi agregat 3-2 pada final.
Bagi saingan tahun ini,
kejohanan bola sepak terbesar di rantau ini akan bermula pada 8 November hingga
15 Disember.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan