ANNUAR MUSA
KUALA LUMPUR 11 Mei - Buat kali pertama dalam
sejarah pertandingan tiga penjuru bakal berlaku dalam perebutan jawatan
Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selepas Tan Sri Annuar Musa
menjadi calon terbaru untuk mencabar kerusi panas itu.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi
mengesahkan, Annuar, yang merupakan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak
Kelantan (KAFA) dan dicalonkan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) pada
hari terakhir pencalonan ditutup hari ini.
Pencalonan tersebut dibuat sehari selepas
Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) mencalonkan Pengerusi Institut Sukan
Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi untuk menentang calon pilihan
Exco FAM iaitu Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.
“Selepas tempoh pencalonan yang dibuka pada 2
April lalu berakhir pada jam 5 petang tadi, FAM hanya menerima tiga nama
tersebut sebagai calon daripada ahli-ahli gabungan yang telah mengembalikan
kertas pencalonan masing-masing.
“Sehubungan itu, ketiga-tiga mereka perlu
mengesahkan penerimaan pencalonan masing-masing sebelum atau pada 14 Jun ini,
iaitu sebulan sebelum berlangsungnya Kongres FAM Ke-54 pada 14 Julai 2018,”
katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Perebutan Presiden FAM hampir diadakan tiga penjuru
bagi penggal 2014-2018 bagaimanapun Sultan Ahmad Shah merupakan penyandang pada
waktu itu membuat keputusan untuk menarik diri sekali gus meninggalkan dua
calon sahaja iaitu Tengku Abdullah dan Tunku Ismail Sultan Ibrahim. Kerusi
Presiden FAM menjadi milik Tengku Abdullah.
Jawatan Presiden FAM kosong selepas Tunku Ismail
melepaskan kerusi No. 1 FAM pada 25 Mac lalu. - UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan