Annuar dicalon lawan Hamidin, Azim untuk jawatan Presiden FAM
KUALA LUMPUR 11 Mei - Tan Sri Annuar Musa
mencipta kejutan apabila namanya tiba-tiba berada dalam senarai calon untuk
merebut kerusi Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), yang pertama kali
dalam sejarah bakal menyaksikan persaingan tiga penjuru untuk jawatan
berkenaan.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi
dalam kenyataan akhbarnya hari ini berkata, tiga individu bakal bersaing untuk
jawatan yang akan dipilih dalam Kongres FAM pada Julai nanti iaitu Setiausaha
Agungnya, Datuk Hamidin Mohd. Amin, Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN),
Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi dan Annuar, yang merupakan bekas Timbalan
Presiden FAM.
“Selepas tempoh pencalonan yang dibuka pada 2
April lalu berakhir pada pukul 5 petang tadi, FAM hanya menerima tiga nama
berkenaan sebagai calon daripada ahli-ahli gabungan yang telah mengembalikan
kertas pencalonan masing-masing.
“Sehubungan itu, ketiga-tiga mereka perlu
mengesahkan penerimaan pencalonan masing-masing sebelum atau pada 14 Jun ini,
iaitu sebulan sebelum berlangsungnya Kongres FAM Ke-54 pada 14 Julai 2018,”
katanya dalam kenyataan itu.
Perebutan jawatan Presiden FAM hampir
berlangsung tiga penjuru untuk penggal 2014-2018, tetapi penyandangnya Sultan
Ahmad Shah membuat keputusan menarik diri sebelum perwakilan akhirnya memilih
anakandanya Tengku Abdullah yang menewaskan Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Begitu pun Tengku Abdullah membuat keputusan
untuk melepaskan jawatan pada 2016 dan pemilihan sekali lagi dibuat menyaksikan
persaingan dua penjuru sebelum Annuar menarik diri untuk Tunku Ismail menang
tanpa bertanding pada Mac 2017.
Tunku Ismail bagaimanapun melepaskan kerusi No.
1 FAM pada 25 Mac lalu.
Dalam pada itu, Yusoff yang merupakan Timbalan
Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (Musa) berkata, pemilihan hanya
akan dibuat jika calon yang sah bertanding melebihi daripada seorang.
“Jika terdapat lebih daripada seorang calon sah
ingin bertanding, maka undian pemilihan Presiden FAM yang baharu perlu
dijalankan dalam Kongres FAM Ke-54. Jika hanya seorang calon yang mengesahkan
penerimaan pencalonannya, maka secara tidak rasminya beliau menang tanpa
bertanding.
“Bagaimanapun, pemilihan calon berkenaan sebagai
Presiden FAM yang baharu bagi penggal 2018-2021 hanya akan disahkan secara
rasmi dalam Kongres FAM Ke-54 itu nanti,” katanya lagi.
Hamidin pada mulanya dijangka mengambil alih
puncak kuasa FAM selepas Exco FAM sebelum ini bersetuju dengan cadangan Tunku
Ismail.
Bagaimanapun, beberapa hari menjelang tarikh tutup pencalonan, beberapa
nama mula timbul termasuk Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Fa-iz Petra
dan kemudian Abdul Azim, sebelum nama Annuar tiba-tiba muncul hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan