Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Jumaat, 11 Mei 2018

Pertembungan tiga penjuru


 Hamidin, Azim, Annuar bertanding merebut jawatan Presiden FAM Julai depan


KIRI ANNUAR, ABDUL AZIM, HAMIDIN

PEMANGKU Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Yusoff Mahadi mengumumkan, tiga individu telah dicalonkan untuk jawatan Presiden FAM pada Kongres FAM ke-54 pada 14 Julai depan.

Tiga individu yang dimaksudkan ialah Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin; Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi dan bekas Timbalan Presiden FAM, Tan Sri Annuar Musa.

Jelas Yusoff, FAM menerima tiga nama itu sebagai calon daripada ahli-ahli gabungan yang telah mengembalikan kertas pencalonan masing-masing selepas tempoh pencalonan yang dibuka pada 2 April lalu telah berakhir pukul 5 petang semalam.

“Justeru, ketiga-tiga mereka perlu mengesahkan masing-masing sebelum atau 14 Jun ini iaitu sebulan sebelum berlangsungnya Kongres FAM Ke-54 pada 14 Julai depan.

“Jika terdapat lebih daripada seorang calon ingin bertanding, maka proses pemilihan Presiden FAM yang baharu perlu dijalankan pada Kongres FAM Ke-54.

“Jika hanya seorang calon mengesahkan pencalonannya, maka secara tidak rasminya beliau menang tanpa bertanding.

“Bagaimanapun, pemilihan calon Presiden FAM yang baharu bagi penggal 2018-2021 hanya akan disahkan secara rasmi pada Kongres FAM Ke-54 itu nanti,” katanya dalam satu kenyataan rasmi semalam.

Jawatan Presiden FAM kosong selepas Jawatankuasa Eksekutif FAM pada Mesyuarat Khas Pertama bagi penggal 2017-2021 di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 2 April lalu menerima peletakan jawatan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sebagai Presiden FAM yang disandang baginda mulai 25 Mac tahun lalu.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Hamidin menerima 18 daripada 20 pencalonan untuk bertanding jawatan Presiden FAM.

Bagaimanapun, Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP) kelmarin telah mencalonkan Azim manakala Annuar pula membuat kejutan apabila kembali bertanding untuk merebut jawatan Presiden FAM.

Ini kerana, bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) itu menarik diri daripada bertanding merebut jawatan Presiden FAM pada Kongres FAM tahun lalu yang menyaksikan Tunku Ismail menang tanpa bertanding.

Difahamkan, pencalonan Annuar untuk jawatan Presiden FAM kali ini hadir daripada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Sementara itu, Abdul Azim menyatakan beliau belum memutuskan sama ada akan bertanding jawatan tersebut atau sebaliknya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan