BEKAS ketua jurulatih
Kuantan FA, Ismail Zakaria. - Foto RAMDZAN MASIAM
KUALA LUMPUR: Tiada apa yang mampu diluahkan bekas jurulatih dan
pemain Kuantan FA selain ucapan terima kasih selepas Liga Bolasepak Malaysia
(MFL) bersedia untuk membantu membayar tunggakan gaji mereka bersama skuad
terbabit.
MFL menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam
semalam menjelaskan pihaknya akan menggunakan baki geran tahunan milik Kuantan
FA untuk membantu jurulatih dan pemain yang berdepan tunggakan gaji sebelum
skuad berkenaan disingkirkan daripada Liga Perdana, Sabtu lalu.
Bekas jurulatih Kuantan FA, Ismail Zakaria berkata, ia sedikit
sebanyak dapat membantu meringankan beban bekas pemainnya yang jelas terganggu
kerana 'bekerja tanpa gaji' selama tiga bulan.
"Kami memang mengharapkan bantuan FAM (Persatuan Bolasepak
Malaysia) dan MFL kerana kalau nak tunggu Kuantan FA, saya fikir makan masa.
Mungkin setahun, mungkin dua tahun atau bertahun-tahun dan mungkin juga tidak
dapat langsung.
"Jika FAM dapat bantu dengan menggunakan baki geran yang
ada, Alhamdulillah kerana itu yang kami harapkan. Pemain pun tidak bergaji
selama tiga bulan, jadi ia sedikit sebanyak boleh menampung perbelanjaan mereka
sementara mendapat gaji bersama pasukan baharu.
"Malah, ada pemain yang masih belum mendapatkan pasukan
baharu. Jadi bila MFL umum nak bantu kami rasa lega. Mungkin tidak dapat
selesaikan sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya dapat meringankan beban
kami," kata Ismail.
Sukan NSTP semalam melaporkan MFL bercadang menggunakan baki
geran tahunan Kuantan FA berjumlah RM300,000 untuk membantu bekas pemain The
Seagulls.
Baki geran berkenaan adalah jumlah 'diskaun' denda yang
dikenakan ke atas Kuantan FA kerana gagal melengkapkan pendaftaran pasukan
musim ini.
Sementara itu, bekas pemain tengah Kuantan FA, Arif Shaqirin
Suhaimi yang kini sudah mengikat kontrak dua tahun bersama PKNP FC turut senada
dengan Ismail.
"Memang lega sikit sebab tiga bulan beraksi tapi tidak
dapat gaji. Terima kasih kepada MFL dan FAM, malah saya pun mahu lupakan kisah
perit bersama Kuantan FA dan memulakan buku baharu bersama PKNP.
"Saya kini menyertai skuad Piala Presiden PKNP tapi tetap
berpeluang diserapkan ke skuad Liga Super pada jendela perpindahan bulan depan
jika berjaya menarik minat jurulatih," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan