JURULATIH
skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee tidak bercadang untuk
melakukan rombakan besar ke atas barisan pemainnya bagi menghadapi Sukan Asia
Indonesia Ogos depan namun akan memanggil tiga pemain senior.
Setiap pasukan yang bertanding pada temasya sukan itu dibenarkan
memanggil tiga pemain lebih umur dan Kim Swee percaya kehadiran pemain senior
mampu memperkuatkan pasukan.
“Kami akan menghantar pasukan terbaik ke sana dengan mendapatkan
khidmat tiga pemain lebih umur, tapi ini bergantung kepada situasi yang
dihadapi sebelum Sukan Asia bermula. Buat masa ini saya belum membuat pilihan
pemain senior.
“Saya tak nampak kami akan melakukan banyak perubahan ke atas
pemain yang beraksi di China (Kejohanan B-23 AFC) sebelum ini namun saya tak
nafikan ada beberapa pemain seperti Syafiq Ahmad (Johor Darul Ta’zim), Ariff
Farhan Isa, Amirul Hisyam Awang Kechik (Kedah) menunjukkan prestasi yang baik
untuk dipertimbangkan,” katanya.
Selepas skuad B-23 negara melakar sejarah dengan layak ke suku
akhir Kejohanan B-23 AFC Januari lalu, Kim Swee berdepan satu lagi misi besar
pada Sukan Asia tahun ini.
Berdasarkan prestasi di China, harapan tinggi disandarkan kepada
skuada muda itu namun Kim Swee mengakui, kekangan masa menjadi halangan besar
untuk beliau membentuk skuad terbaik.
“Saya tak boleh lakukan perubahan besar kerana pemain sedia ada
sudah mempunyai persefahaman baik. Cuma pasukan mungkin tidak sempat untuk
mengadakan perlawanan ujian sebelum ke Sukan Asia.
“Saya
akan memanggil semua pemain pada 1 atau 2 Ogos ini, lebih kurang dua minggu
sebelum temasya dan saya harap ia mencukupi untuk membuat persiapan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan