PENGENDALI skuad
negara B-16, Lim Teong Kim.
KUALA LUMPUR: Skuad negara kendalian Lim Teong Kim dijangka
menerima laluan mudah pada majlis undian Kejohanan B-16 Konfederasi Bolasepak
Asia (AFC) esok apabila diletakkan dalam balang satu bersama Jepun, Iran dan
juara bertahan Iraq.
Malah, elemen kejutan mungkin boleh berlaku pada undian itu
dengan kemungkinan empat pasukan Asia Tenggara berada dalam kumpulan sama
selepas Vietnam, Thailand dan Indonesia diletakkan dalam balang dua, tiga dan
empat.
Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bolasepak Negara
(NFDP), Safirul Azli Abu Bakar berkata, beliau tidak menolak kemungkinan
situasi itu mampu berlaku dan menganggap ia peluang terbaik buat skuad B-16
negara melepasi peringkat kumpulan Kejohanan AFC di Kuala Lumpur, September
depan.
KETUA
Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP), Safirul Azli Abu
Bakar. - Foto fail
Menurut Safirul, pemain B-16 yang semuanya dari produk NFDP
diletakkan sasaran untuk mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir.
"Kalau ikut balang undian itu, Malaysia akan berada dalam
balang satu sebagai tuan rumah dengan Iran, Jepun dan Iraq. Itu bermakna kita
dapat elak untuk bertemu Iraq dan Jepun yang sudah tentunya hadir selaku
pasukan pilihan.
"Bagaimanapun, tentangan sukar tetap akan hadir dari Korea
Selatan, Korea Utara atau Australia. Sebab itu kita kena perbaiki tahap fokus
yang mana saingan peringkat domestik dan antarabangsa cukup berbeza dengan kita
akan dihukum jika melakukan kesilapan mudah.
"Namun, agak menarik juga sekiranya Malaysia diundi
sekumpulan dengan tiga pasukan serantau. Kemungkinan itu ada, kalau tak semua
Asia Tenggara pun mungkin akan ada satu atau dua dalam kumpulan kita
nanti," katanya ketika dihubungi hari ini.
Sebanyak 16 pasukan akan berentap untuk mengejar gelaran juara
dengan empat pasukan terbaik akan meraih slot automatik ke Piala Dunia Remaja
B-17 di Peru tahun depan.
Pencapaian terbaik skuad negara adalah pada 2014 di Bangkok
apabila anak buah S Balachandran hampir melakar sejarah layak ke Piala Dunia
sebelum tumbang 1-2 di tangan Australia pada suku akhir.
"Apa yang saya nampak selama empat tahun bersama pemain,
tidak mustahil pasukan mampu layak ke separuh akhir. Malah, tidak mustahil juga
kita mampu masuk ke final dan muncul juara.
"Tapi kadangkala, kita tetap harapkan tuah dapat mengiringi
pasukan. Berani saya katakan, tahap pemain kita sebenarnya dalam empat terbaik
di Asia," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan