SKUAD negara kendalian Lim Teong Kim dijangka menerima laluan
mudah pada majlis undian Kejohanan B-16 Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) esok
apabila diletakkan dalam balang satu bersama Korea Utara, Iran dan juara
bertahan Iraq.
Malah, elemen kejutan mungkin boleh berlaku pada undian itu
dengan kemungkinan empat pasukan Asia Tenggara berada dalam kumpulan sama
selepas Vietnam, Thailand dan Indonesia diletakkan dalam balang dua, tiga dan
empat.
Ketua Pegawai Eksekutif Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP),
Safirul Azli Abu Bakar berkata, beliau tidak menolak kemungkinan situasi itu
mampu berlaku dan menganggap ia peluang terbaik buat skuad B-16 negara melepasi
peringkat kumpulan Kejohanan AFC di Kuala Lumpur, September depan.
Menurut Safirul, pemain B-16 yang semuanya dari produk NFDP
diletakkan sasaran untuk mara sekurang-kurangnya ke separuh akhir.
“Kalau ikut balang undian itu, Malaysia akan berada dalam balang
satu sebagai tuan rumah dengan Iran, Korea Utara dan Iraq. Itu bermakna kita
dapat elak untuk bertemu Iraq dan Korea Utara yang sudah tentunya hadir selaku
pasukan pilihan.
“Bagaimanapun, tentangan sukar tetap akan hadir dari Korea
Selatan, Korea Utara atau Australia. Sebab itu kita kena perbaiki tahap fokus
yang mana saingan peringkat domestik dan antarabangsa cukup berbeza dengan kita
akan dihukum jika melakukan kesilapan mudah.
“Namun, agak menarik juga sekiranya Malaysia diundi sekumpulan
dengan tiga pasukan serantau. Kemungkinan itu ada, kalau tak semua Asia
Tenggara pun mungkin akan ada satu atau dua dalam kumpulan kita nanti,” katanya
ketika dihubungi hari ini.
Sebanyak 16 pasukan akan berentap untuk mengejar gelaran juara
dengan empat pasukan terbaik akan meraih slot automatik ke Piala Dunia Remaja
B-17 di Peru tahun depan.
Pencapaian terbaik skuad negara adalah pada 2014 di Bangkok
apabila anak buah S Balachandran hampir melakar sejarah layak ke Piala Dunia
sebelum tumbang 1-2 di tangan Australia pada suku akhir.
“Apa yang saya nampak selama empat tahun bersama pemain, tidak
mustahil pasukan mampu layak ke separuh akhir. Malah, tidak mustahil juga kita
mampu masuk ke final dan muncul juara.
“Tapi
kadangkala, kita tetap harapkan tuah dapat mengiringi pasukan. Berani saya
katakan, tahap pemain kita sebenarnya dalam empat terbaik di Asia,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan