Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Rabu, 25 April 2018

MFL 'penyelamat' jurulatih, pemain Kuantan FA


KETUA Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam.

KUALA LUMPUR: Bekas jurulatih dan pemain Kuantan FA berpeluang mendapatkan tunggakan gaji mereka selepas Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengesahkan masih mempunyai baki geran tahunan diperuntukkan untuk pasukan berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam menjelaskan baki geran tahunan itu adalah jumlah yang 'ditahan' badan pengelola Liga Malaysia (Liga M) itu akibat denda dikenakan ke atas Kuantan FA kerana kesalahan gagal melengkapkan pendaftaran pasukan musim ini.
Beliau bagaimanapun menjelaskan pihaknya perlu membawa perkara berkenaan kepada Lembaga Pengarah MFL terlebih dulu bagi mendapatkan kelulusan untuk menggunakan wang berkenaan untuk membayar tunggakan gaji pemain Kuantan FA. 
"Kalau ikutkan Kuantan FA dapat RM1 juta untuk geran tahunan dan kami sudah agihkan RM500,000 sebelum ini yang mana lebih separuh daripada jumlah itu kita agihkan terus kepada pemain untuk membayar gaji mereka dan sebahagian lagi digunakan untuk menyelesaikan beberapa hutang lain pasukan terbabit.
"Baki RM500,000 yang kami tahan adalah denda ke atas Kuantan FA kerana kesalahan gagal melengkapkan pendaftaran. Namun, selepas rayuan, mereka hanya dikenakan denda RM200,000, maknanya masih ada lagi baki RM300,000.
"Jadi baki RM300,000 itu yang mungkin kita boleh gunakan untuk membantu membayar tunggakan gaji pemain Kuantan FA yang masih tertunggak. Walaupun mungkin tidak cukup, tapi sekurang-kurangnya dapat membantu mereka," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Biarpun kemungkinan belum dapat menyelesaikan sepenuhnya tunggakan gaji, pengesahan daripada daripada Kevin itu pasti melegakan bekas jurulatih dan pemain Kuantan FA yang mengharapkan nasib mereka terbela.
Ia susulan skuad The Seagulls yang dibelenggu masalah tunggakan gaji sejak musim lalu sudah disingkirkan daripada Liga Perdana oleh MFL selepas tidak hadir ketika aksi berdepan PDRM di Stadium Shah Alam, 15 April lalu.
Namun, MFL juga perlu menunggu keputusan daripada Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk membuat keputusan terlebih dulu selepas aduan dikemukakan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM), minggu lalu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PFAM, Izham Ismail ketika dihubungi, hari ini juga mengesahkan pihaknya masih menunggu keputusan akan dibuat Jawatankuasa Status FAM.
"Kami sudah menghantar afidavit pada minggu lalu dan kini hanya menunggu Jawatankuasa Status untuk membuat keputusan," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan