PEMAIN Kuantan FA boleh mencari pasukan lain pada jendela
perpindahan kedua yang akan dibuka bermula 14 Mei hingga 10 Jun depan selepas
penyertaan skuad itu dalam Liga Malaysia (Liga M) dibatalkan Liga Bolasepak
Malaysia (MFL), kelmarin.
Ejen pemain, Effendi Jagan Abdullah menjelaskan berdasarkan
kontrak biasa, mana-mana pemain yang tidak dibayar gaji oleh majikannya
mempunyai hak untuk mencari pasukan lain.
Beliau yang juga Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn
Bhd bagaimanapun berkata, pemain Kuantan FA perlu mengemukakan surat kepada
pengurusan pasukan bagi membatalkan kontrak lama mereka.
“Bagi kes pemain Kuantan FA, mereka sebenarnya masih mempunyai
kontrak bersama pasukan itu walaupun MFL sudah menyingkirkan mereka daripada
Liga M.
“Namun, jika ikut kontrak biasa, pemain boleh meminta untuk
membatalkan kontrak mereka jika pasukan terbabit dibelenggu masalah tunggakan
gaji yang lama seperti melebihi tiga atau empat bulan.
“Pemain Kuantan FA hanya membatalkan kontrak mereka dengan
mengemukakan surat kepada pihak pengurusan terbabit dan selepas itu mereka
bebas mencari pasukan lain.
“Berkenaan isu tunggakan gaji mereka yang sudah sampai ke
Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia (PFAM) dan Persatuan Bolasepak
Malaysia, ia sudah menjadi kes lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Kelmarin, MFL membatalkan penyertaan Kuantan FA dalam Liga
Perdana serta merta selepas melakukan kesalahan besar tidak hadir ke Stadium
Shah Alam pada 15 April lalu yang menyaksikan kemenangan percuma 3-0 diberikan
kepada PDRM.
Isu tunggakan gaji yang membelenggu skuad berkenaan dikatakan
menjadi punca utama pemain dan jurulatih skuad The Seagulls enggan beraksi pada
perlawanan ketujuh liga itu.
Malah, PFAM sudah mengemukakan aduan kepada FAM bagi membantu
menyelesaikan isu tunggakan gaji pemain Kuantan FA.
Jika
gagal, jalan terakhir untuk kes itu diselesaikan mungkin ia perlu dibawa ke
Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan