BIARPUN tarikh tutup pencalonan bagi jawatan Presiden Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) masih berbaki sebulan, namun jawatan kerusi panas itu
dilihat hampir pasti akan disandang Datuk Hamidin Mohd Amin.
Ia susulan lebih separuh ahli gabungan sudah mencalonkan
nama Setiausaha Agung FAM itu untuk bertanding pada kongres ke-54 badan induk
berkenaan pada 14 Julai ini.
Malah, sumber rapat FAM berkata, ketika ini Hamidin
menjadi calon tunggal selepas mendapat pencalonan daripada 18 ahli gabungan
yang sudah mengesahkan pencalonan mereka.
“Hanya Hamidin yang mendapat pencalonan ketika ini.
Sebanyak 18 daripada 20 ahli gabungan mencalonkan nama beliau untuk dipilih
sebagai presiden.
“Hanya tinggal dua ahli gabungan yang belum mengesahkan
senarai nama pencalonan mereka. Tapi mereka masih ada masa kerana tarikh tutup
pencalonan pada 11 Mei ini,” katanya yang enggan mendedahkan nama ahli gabungan
yang belum menghantar pencalonan.
Meskipun Hamidin yang namanya dicadangkan sendiri oleh
bekas Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menjadi calon pilihan ramai
termasuk mendapat sokongan daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin
Abu Bakar.
Namun, ketika Hamidin dilihat tidak berdepan masalah untuk
mendapat sokongan penuh ahli gabungan, difahamkan ada persatuan negeri tidak
bersetuju dan cuba mencalonkan nama lain untuk merebut jawatan presiden.
Sementara itu, Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi
menyifatkan ahli gabungan yang cuba mencalonkan nama lain sebagai melawan arus
ketika majoriti daripada mereka menyokong Hamidin.
“Saya tidak tahu ada ahli gabungan yang tidak setuju.
Kalau ada yang nak calonkan nama lain, saya fikir ia boleh menimbulkan keadaan
yang kurang senang, macam mereka melawan arus.
“Walaupun ia (pencalonan nama lain) dibenarkan, tapi saya
harap mereka fikirkan sebaik mungkin sebelum menamakan calon lain. Sebab
majoriti sudah menyokong Hamidin.
“Tapi
kalau mereka nak calonkan nama lain hanya kerana mahukan kelainan atau ada
agenda lain, saya rasa ia tidak perlu,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan