PEMANGKU Presiden FAM,
Datuk Yusoff Mahadi berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya segala bentuk
hukuman kepada MFL. - Foto Luqman Hakim Zubir
KUALA LUMPUR: Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM) menganggap kes Kuantan FA yang kemungkinan
disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini seharusnya
dijadikan pengajaran agar pasukan bermasalah tidak diberi 'muka' lagi selepas
ini.
Pemangku Presiden FAM,
Datuk Yusoff Mahadi berkata, pihak pengurusan kelab Liga Perdana itu seperti
sengaja mengambil kesempatan atas sikap berlembut Liga Bolasepak Malaysia (MFL)
apabila membenarkan mereka bertanding musim ini biarpun mempunyai masalah
kewangan.
"Mereka menjanjikan
pengurusan baharu akan mengambil alih serta bersedia melangsaikan masalah gaji
pemain bagi musim sebelum ini secara berperingkat tapi malangnya ia tidak
berlaku. Walaupun Kuantan FA ini menggunakan nama Marcerra, tapi pengurusan
kelab ini masih orang yang sama.
"Tapi akhirnya ia
memberi masalah kepada perjalanan liga kita sendiri yang sudah separuh jalan.
Jadi, pada saya ini satu pengajaran buat kita semua dan MFL harus memikirkan
jalan terbaik mengenai isu ini.
"Mungkin kita perlu
lebih tegas dengan melihat kedudukan kewangan sesebuah pasukan sebelum mereka
dibenarkan bertanding," katanya.
Kuantan FA yang sememangnya
bermasalah kerana terbabit dengan isu pembayaran gaji pemain dalam beberapa
musim kebelakangan ini, menggemparkan arena bola sepak tempatan apabila tidak
hadir pada perlawanan Liga Perdana menentang PDRM di Stadium Shah Alam
kelmarin.
MFL dalam satu kenyataan
menegaskan bersedia mengenakan hukuman berat dengan membatalkan penyertaan
pasukan kendalian Ismail Zakaria itu meskipun sudah mengharungi tujuh
perlawanan dan menduduki tangga kesembilan liga.
Yusoff yang juga Timbalan
Presiden FAM berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya segala bentuk hukuman
kepada MFL.
"Kes ini di bawah
bidang kuasa MFL selaku badan yang mentadbir Liga M, jika masalah ini
membabitkan tunggakan gaji atau pegawai pemain berkenaan, baru FAM boleh
kendalikan menerusi Jawatankuasa Tatatertib.
Kita berharap MFL dapat
mencapai satu penyelesaian terbaik bukan saja berhubung kes ini tapi juga pada
masa depan agar tidak berulang," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan