Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menganggap kes Kuantan FA
yang kemungkinan disingkirkan daripada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini
seharusnya dijadikan pengajaran agar pasukan bermasalah tidak diberi 'muka'
lagi selepas ini.
Pemangku Presiden FAM, Datuk Yusoff Mahadi berkata, pihak
pengurusan kelab Liga Perdana itu seperti sengaja mengambil kesempatan atas
sikap berlembut Liga Bolasepak Malaysia (MFL) apabila membenarkan mereka
bertanding musim ini biarpun mempunyai masalah kewangan.
"Mereka menjanjikan pengurusan baharu akan mengambil alih
serta bersedia melangsaikan masalah gaji pemain bagi musim sebelum ini secara
berperingkat tapi malangnya ia tidak berlaku. Walaupun Kuantan FA ini
menggunakan nama Marcerra, tapi pengurusan kelab ini masih orang yang
sama.
"Tapi akhirnya ia memberi masalah kepada perjalanan liga
kita sendiri yang sudah separuh jalan. Jadi, pada saya ini satu pengajaran buat
kita semua dan MFL harus memikirkan jalan terbaik mengenai isu
ini.
"Mungkin kita perlu lebih tegas dengan melihat kedudukan
kewangan sesebuah pasukan sebelum mereka dibenarkan bertanding,"
katanya.
Kuantan FA yang sememangnya bermasalah kerana terbabit dengan
isu pembayaran gaji pemain dalam beberapa musim kebelakangan ini, menggemparkan
arena bola sepak tempatan apabila tidak hadir pada perlawanan Liga Perdana
menentang PDRM di Stadium Shah Alam kelmarin.
MFL dalam satu kenyataan menegaskan bersedia mengenakan hukuman
berat dengan membatalkan penyertaan pasukan kendalian Ismail Zakaria itu
meskipun sudah mengharungi tujuh perlawanan dan menduduki tangga kesembilan
liga.
Yusoff yang juga Timbalan Presiden FAM berkata, pihaknya
menyerahkan sepenuhnya segala bentuk hukuman kepada MFL.
"Kes ini di bawah bidang kuasa MFL selaku badan yang
mentadbir Liga M, jika masalah ini membabitkan tunggakan gaji atau pegawai
pemain berkenaan, baru FAM boleh kendalikan menerusi Jawatankuasa
Tatatertib.
Kita
berharap MFL dapat mencapai satu penyelesaian terbaik bukan saja berhubung kes
ini tapi juga pada masa depan agar tidak berulang,"
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan