ITU adalah cadangan bekas Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kamarudin Abdullah.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai hukuman yang
sewajarnya dikenakan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) ke atas pasukan Kuantan
FA yang enggan lagi beraksi selepas dibelenggu tunggakan gaji selama tiga bulan
sejak bermulanya musim 2018.
Kamarudin bagaimanapun berkata, pemain tidak boleh dipersalahkan
dalam kes berkenaan kerana bayaran gaji di bawah tanggungjawab pasukan.
Katanya, kegagalan menguruskan tunggakan gaji itu juga memberi
petanda organisasi terbabit adalah satu pengurusan yang lemah.
“Jika sampai membabitkan isu pasukan tidak lagi mahu beraksi,
ini satu masalah yang serius. Sudah tentu perlunya satu bentuk hukuman yang
keras sebagai pengajaran.
“Sepatutnya pengurusan lemah sebegini diharamkan daripada
menyertai saingan bola sepak tempatan. Kegagalan pengurusan menyebabkan
pelbagai masalah timbul sehingga menjejaskan pihak yang terbabit.
“Atas salah pengurusan menyebabkan tunggakan gaji berlaku selama
berbulan bulan. Pemain tidak boleh dipersalahkan dalam isu ini,” katanya ketika
dihubungi hari ini.
Sebelum ini, jurulatih Kuantan FA, Ismail Zakaria mengesahkan
masalah tunggakan gaji yang dialami menjadi punca pemainnya menolak untuk turun
ke padang pada perlawanan bertemu skuad bimbingan Zulhamizan Zakaria itu.
Selain itu beliau turut menjelaskan betapa dirinya sudah tidak
mampu berbuat apa-apa selepas pasukan berkenaan dipercayai sepakat enggan
beraksi pada perlawanan ketujuh Liga Perdana itu.
Bagaimanapun, kegagalan skuad The Seagulls itu untuk hadir pada
aksi Liga Perdana bertemu PDRM di Stadium Shah Alam, Ahad lalu mengundang padah
selepas pasukan ini bakal berdepan hukuman berat daripada MFL.
Badan pengendali liga itu menerusi satu kenyataan berkata,
mereka memandang serius perkara itu dan bersedia mengenakan hukuman berat
dengan membatalkan penyertaan pasukan terbabit.
Malah, MFL turut menegaskan hukuman yang sewajarnya tetap
dikenakan kepada individu bagi memastikan mereka tidak menceburkan diri dalam
bola sepak tempatan lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan