Featured post

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020!#LigaMalaysiaKembali#CIMBLigaSuper2020#LigaPremier2020

📆 Jadual perlawanan CIMB Liga Super dan Liga Premier musim 2020! Untuk download,  https:// https:/U/ we.tl/t-O8tyMSagYQ Anda bole...

Jumaat, 20 April 2018

Hamidin tak minat jawatan MOM


Mahu fokus pembangunan bola sepak, tidak bertanding Timbalan Presiden


Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin.

BAKAL Presi­den Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin (gambar) mendedahkan beliau tidak akan bertanding untuk merebut jawatan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) pada pemilihan badan induk sukan negara itu yang dijadualkan berlangsung pada Jun depan.

Keputusan Hamidin yang kini masih dengan status Setiausaha Agung FAM itu bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru melibatkan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi dan Naib Presiden MOM, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Hamidin enggan meneruskan hasrat untuk bertanding selepas mendapat khidmat nasihat daripada mantan Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM.

“Saya tidak akan bertanding jawatan Timbalan Presiden MOM selepas mengadakan perbincangan dengan ahli-ahli Jawatankuasa Eksekutif FAM dan mendapatkan nasihat daripada mantan Presiden FAM, Tunku Ismail.

“Saya dengan ini secara rasmi membuat keputusan untuk tidak bertan­ding merebut jawatan Timbalan Presiden MOM pada pemilihan akan datang.

“Biarpun terdapat spekulasi media sebelum ini bahawa ada beberapa persatuan sukan mahu mencalonkan nama saya bagi jawatan berkenaan, saya ingin menyatakan buat masa ini tidak berminat untuk memegang apa-apa jawatan dalam MOM.

“Keputusan ini dibuat kerana saya ingin memberi tumpuan dan fokus sepenuhnya terhadap bola sepak negara khususnya FAM sekiranya saya dinobatkan sebagai Presiden FAM yang baharu bagi penggal 2018-2021 pada kongres yang dijadualkan pada 14 Julai 2018,” kata­nya dalam satu kenyataan semalam.

Kosmo! sebelum ini melaporkan Hamidin adalah calon paling hangat untuk menjadi pengganti Tunku Ismail yang melepaskan jawatan baginda sebagai Presiden FAM, bulan lalu.

Hamidin dijangka memu­lakan jawatan baharu sebagai Presiden FAM pada Julai depan selepas bekas Naib Presiden FAM dan bekas Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) itu mendapat sokongan majoriti 18 daripada 20 ahli gabungan yang mencalonkan namanya sebagai pe­mimpin baharu badan induk persatuan tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan