Hamidin
(kanan) secara rasmi membuat keputusan untuk tidak akan bertanding merebut
jawatan itu pada pemilihan yang akan berlangsung pada 5 Mei ini. - Gambar fail
KUALA
LUMPUR - Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin
Mohd Amin membuat keputusan untuk tidak bertanding bagi jawatan Timbalan
Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Hamidin yang dilihat sebagai pilihan untuk mengisi jawatan
Presiden FAM bagi penggal 2018-2021 ketika kongres yang dijadualkan berlangsung
pada 14 Julai ini, berkata keputusan itu dibuat supaya dapat memberikan
tumpuan dan fokus sepenuhnya terhadap bola sepak negara.
"Selepas mengadakan perbincangan dengan ahli-ahli
Jawatankuasa Eksekutif FAM dan juga mendapatkan nasihat daripada bekas Presiden
FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, saya secara rasmi membuat keputusan untuk
tidak akan bertanding merebut jawatan itu pada pemilihan yang akan berlangsung
pada 5 Mei ini.
Biarpun terdapat spekulasi media sebelum ini bahawa ada beberapa
persatuan sukan mahu mencalonkan nama saya bagi jawatan berkenaan, saya
ingin menyatakan di sini yang saya buat masa ini memang tidak berminat untuk
memegang apa-apa jawatan dalam MOM," katanya menerusi catatan terbaharu di
laman Facebook rasmi FAM, hari ini.
Kerusi panas FAM itu menjadi kosong apabila Tunku Ismail secara
rasmi mengumumkan peletakan jawatannya pada 25 Mac lepas dengan mencadangkan
Hamidin sebagai individu paling layak untuk menerajui badan induk bola sepak
negara itu.
Dengan keputusan Hamidin itu, perebutan untuk jawatan Timbalan
Presiden MOM dijangka antara Setiausaha Agung Persekutuan Silat Kebangsaan
Malaysia (Pesaka), Datuk Megat Zulkarnain Omardin dan Setiausaha Kewangan
Persatuan Kriket Melayu Malaysia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi.
Kerusi timbalan presiden MOM menjadi kosong apabila
penyandangnya, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria tidak mahu mempertahankan
jawatan itu kerana bakal dicalonkan sebagai Presiden MOM bagi menggantikan
Tunku Tan Sri Imran Tuanku Ja'afar yang mahu melepaskan jawatannya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan