CALON tunggal Presiden
FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dijangka tidak berdepan sebarang tentangan untuk
menerajui badan induk itu. - Foto Osman Adnan
KUALA LUMPUR: Calon tunggal Presiden Persatuan Bolasepak
Malaysia (FAM) setakat ini, Datuk Hamidin Mohd Amin seharusnya boleh bertenang
apabila dijangka tidak berdepan sebarang tentangan untuk menerajui badan induk
itu.
Menurut bekas Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Redzuan Sheikh
Ahmad, Hamidin yang juga Setiausaha Agung dilihat tidak akan dicabar selepas
mengambil kira faktor situasi politik yang sedang melanda negara ketika ini.
Jelasnya, situasi politik
ketika ini khasnya ketika menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14)
berkemungkinan menjadi faktor terbesar calon lain perlu berhati-hati untuk
menerima pencalonan bertanding merebut 'kerusi panas' FAM itu.
"Kalau kita lihat,
kebanyakan calon sebelum ini terbabit dengan politik namun harus diingat, sudah
pasti ketika ini mereka mempunyai tugas lebih penting yang perlu diuruskan
membabitkan kerjaya politik mereka.
"Sebenarnya saya
berasakan ada beberapa 'orang kuat' di persatuan bola sepak negeri berhasrat
untuk turut sama merebut jawatan itu namun disebabkan situasi politik ketika
ini menyebabkan mereka tidak mahu bertanding.
"Lagi pun, restu Tunku
Ismail Sultan Ibrahim sudah cukup untuk menjadi petunjuk hanya Hamidin
seharusnya menjadi presiden. Jadi saya jangka Hamidin tidak akan dicabar sekali
gus menang tanpa bertanding," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Isnin lalu, menerusi
mesyuarat khas pertama Exco FAM bagi penggal 2017-2021, Hamidin dicalonkan
sebagai presiden baharu susulan peletakan jawatan penyandangnya, Tunku Ismail
pada 25 Mac lalu.
Hamidin yang menyandang
jawatan tugas Setiausaha Agung sejak 2013 di bawah teraju tiga presiden
mengesahkan bersedia untuk merebut jawatan nombor satu itu selepas mendapat
sokongan penuh Exco FAM.
Beliau dilihat berpeluang
cerah mencipta sejarah muncul individu pertama bukan golongan kerabat diraja
atau ahli politik menerajui FAM jika dipilih sebagai pengganti Tunku Ismail.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan