Minggu ini bermula dengan sesuatu yang amat memalukan negara dan
bola sepak. Pasukan gagal turun padang dalam perlawanan Liga Perdana. Pemain
Kuantan FA enggan beraksi menentang PDRM kerana tunggakan gaji selama tiga
bulan.
Anda sedia maklum bola sepak di negara ini dilanda pelbagai
masalah. Pasukan kebangsaan gagal meraikan kemenangan pada 2017. Tahun ini kita
‘berjaya’ membelasah Bhutan, baru-baru ini.
Kini pula masalah tunggakan gaji, bukan satu perkara baru dalam
bola sepak negara, sekali lagi mencetus persoalan tahap profesionalisme.
Kuantan FA tidak bertindak profesional kerana gagal membayar
gaji pemain selama tiga bulan. Sebagai kelab bola sepak profesional, harus
menyediakan dana yang mencukupi untuk sara pasukan minimum semusim. Apabila
mendapati ada masalah kewangan, harus berbincang dengan persatuan negeri
sebelum masalah ini menjadi di luar kawalan.
Kehadiran Kuantan FA dalam liga profesional adalah di bawah
naungan persatuan negeri. Adakah pengurusan Kuantan FA meminta bantuan daripada
Pahang FA?
Jelas pemain pula tidak bersikap profesional apabila gagal
menunaikan syarat kontrak bermain. Adalah salah sekiranya pemain tidak turun
padang kerana masih lagi di bawah majikan mereka.
Pemain boleh bertindak melambatkan sepak mula secara protes
untuk mengetengahkan masalah yang dilanda kepada pihak tertentu. Mengapa tidak
pemain yang terbabit bertindak lebih awal dan menunggu hingga tunggakan gaji
sampai tiga bulan?
Mengikut laporan pula, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi
bantuan gaji sebulan kepada Kuantan FA. Ini satu kesilapan besar MFL walaupun
niat itu baik. Dengan memberi bantuan ini maka MFL hanya sekadar melambatkan
yang nyata. Ini menunjukkan MFL tidak tegas dan membuka jalan untuk Kuantan FA
mengambil kesempatan.
MFL tidak harus menyingkirkan Kuantan FA daripada Liga Perdana.
Dicadangkan MFL menggantung pihak pengurusan kelab itu.
Digantikan dengan pengurusan sementara terdiri daripada ahli FAM. Dengan
tindakan ini maka perjalanan liga akan berjalan lancar tanpa gangguan.
Pengurusan sementara pula berpeluang untuk berunding semula kontrak pemain
dengan meletak syarat berpatutan seperti potongan gaji 10-20 peratus.
MFL terpaksa menanggung Kuantan FA supaya tidak tercemar nama
negara. Dengan itu juga, pemain tidak akan menganggur dan akan dapat menyara
hidup keluarga mereka hingga akhir musim.
Ramai akan menganggap bantuan ini boleh mencetus berulangnya
perkara sebegini terhadap pasukan lain. Tapi, soalan yang lebih penting pula
adalah kebolehan negara menguruskan bola sepak profesional. Atau berapa pasukan
sahaja yang mampu beraksi sebagai kelab profesional?
Adakah
MFL serta FAM sanggup ‘membunuh’ kelab yang mengalami masalah kewangan? Kelab
yang diluluskan sendiri untuk beraksi dalam Liga Perdana 2018 oleh MFL serta
FAM?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan